- Iklan -
Berita

Sasarkan Tajuddin, PH mahu peguam negara ‘berat sebelah’ dipecat

PH mendakwa peguam negara tidak lagi mampu menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng and Mohamad Sabu.
Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng and Mohamad Sabu.

Pakatan Harapan (PH) hari ini sekali lagi menggesa pemecatan Peguam Negara Idrus Harun kerana dilihat tidak lagi mampu menjalankan tugas rasminya secara profesional dan berkecuali dalam menegakkan undang-undang.

Dalam sebuah kenyataan, PH mempersoalkan mengapa Idrus tidak mengambil tindakan untuk mendakwa pemimpin Umno Tajuddin Abdul Rahman yang baru-baru ini tidak mematuhi arahan kepimpinan utama partinya.

“Kita diingatkan bahawa terdapat kes-kes profil tinggi tertentu seperti Tajuddin Abdul Rahman yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 Mei namun sehingga hari ini tiada arahan pendakwaan dari peguam negara.

“Ini memang luarbiasa apabila seseorang itu ditahan lebih sebulan yang lalu namun masih belum didakwa,” kata kenyataan yang ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng itu.

Dalam pada itu, selain tidak lagi dilihat “berkecuali” dan “berat sebelah”, PH turut mempersoalkan kenyataan Idrus pada 15 Jun berhubung tugas rasmi Yang di-Pertuan Agong yang tertakluk dengan Kabinet dan menyifatkan beliau tidak lagi mampu menasihati Agong.

“Walaupun Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa ‘Menjadi kewajipan peguam negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau jemaah menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara perkara undang-undang…’

“Namun timbul tanda tanya apakah peguam negara kini boleh menjalankan fungsi tersebut secara tidak berat sebelah,” kata kenyataan itu lagi.

Tajuddin dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi memberi keterangan pada 28 Mei lalu.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu merupakan pimpinan kanan Umno yang tidak bersetuju dengan rancangan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Jika kita keluar sekarang, anda fikir kerajaan akan jatuh? Mereka mungkin akan bersama DAP, untuk dapatkan persefahaman. DAP akan sokong, ia mungkin tak perlu masuk kerajaan, mereka hanya perlu berikan undi sahaja.

“Apa yang akan terjadi kepada Umno?” katanya dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 7 Julai lalu, beberapa jam sebelum Zahid mengumumkan Umno menarik sokongannya terhadap Muhyiddin.

Beliau turut berkata tiada jaminan Umno boleh selesaikan Covid-19 dan masalah ekonomi.

“Jika kita gagal selepas ambil alih, ia akan memburukkan lagi keadaan,” tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.