- Iklan -
Berita

Selepas kes Bella, persoalan timbul mengenai NGO tak berdaftar

Prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Kebajikan Masyarakat dipersoalkan susulan laporan mengenai kanak-kanak perempuan down syndrome didera di Kuala Lumpur.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pegawai penguatkuasa dari jabatan kebajikan menutup rumah kebajikan tidak berdaftar di Kuala Lumpur pada 12 Julai selepas beberapa laporan seorang kanak-kanak OKU didera di rumah tersebut. Gambar: Bernama
Pegawai penguatkuasa dari jabatan kebajikan menutup rumah kebajikan tidak berdaftar di Kuala Lumpur pada 12 Julai selepas beberapa laporan seorang kanak-kanak OKU didera di rumah tersebut. Gambar: Bernama

Susulan pendedahan mengenai penderaan yang dilakukan kepada remaja Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella baru-baru, timbul persoalan mengenai prosedur operasi standard Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung penjagaan kanak-kanak yang diletakkan di bawah jabatan itu.

Ia dilaporkan pengadu dalam satu laporan polis terhadap Rumah Bonda pada 1 Julai lalu.

Laporan itu mendedahkan ada anak-anak di bawah JKM yang diletakkan di Rumah Bonda meskipun tidak berlesen.

Antara lain berlaku penderaan fizikal terhadap anak-anak jagaan dalam rumah tersebut seperti menampar, menendang, memukul dengan kayu, menyimbah kuah tom yam dan membotakkan rambut kanak-kanak yang dikatakan ingkar dengan arahan pengasasnya, Siti Bainun Ahd Razali.

Ia turut mendedahkan bahawa Siti Bainun memberikan bayi-bayi kepada keluarga angkat tanpa persetujuan ibu kandung bayi-bayi terbabit.

Lebih menyedihkan seorang bayi bernama Adam meninggal dunia akibat kecuaian pihak pengurusan pada Mei 2020.

Mengikut laporan polis itu, tiada tindakan diambil meskipun pihak hospital telah membuka kertas siasatan.

Rumah Bonda diasaskan Siti Bainun yang juga ahli Puteri Umno.

Aktivis terkenal, Syed Azmi Alhabshi terlibat sebagai penasihat.

Dia dikecam di media sosial kerana berdiam diri.

Katanya: “Berlaku dalam rumah kawan saya sendiri, membuatkan lagi saya rasa terpinga-pinga apa yang berlaku sebenarnya. Soalan soalan macam siapa, bila, kenapa, kat mana, semua tu dalam kepala dari awal lagi tapi saya senyap sahaja sebab semua tengah Covid.

“Kenapa lepas berlaku, takde ada cerita pada sesiapa, tak mintak tolong sesiapa, dan semua tu. Akhirnya saya sendiri salahkan diri sendiri sebab adakah saya tak cukup bertanya khabar atau tak ada masa untuk kawan-kawan saya dan sebagainya.”

Syed Azmi berkata, dia tidak mahu berkongsi sebarang pendapat mengenai kes Bella agar tidak timbul “prejudis dalam siasatan”.

Pengadu menerima notis tuntutan daripada peguam Siti Bainun.

Seorang aktivis masyarakat yang tidak mahu dikenali berkata, rumah yang dipromosikan oleh NGO dan aktivis terbabit seolah-olah sudahpun berdaftar dengan JKM.

Katanya, siasatan perlu dilakukan secara telus bagi mencari penjelasan.

“Situasi ini agak pelik kerana mereka (JKM) tahu tak daftar, tapi kenapa ada kes-kes dimasukkan juga dengan pengetahuan?

“Difahamkan JKM tidak cukup rumah perlindungan memandangkan terlalu banyak kes-kes anak hamil luar nikah dan tiada tempat hendak pergi,” katanya.

Katanya, JKM sewajarnya membuka siasatan sejak kematian ada lagi.

“Kalau dah ada kes kematian, maksudnya ‘red flag’, tapi masih beroperasi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi aktivis yang juga pengasas bersama SCRUT, Ahmad Aliff AS Ahmad Shariffuddin berkata, kes Rumah Bonda merupakan bukti kukuh kerajaan melalui agensi-agensi yang menyelia NGO mesti lebih tegas dalam mengawal selia aktiviti-aktiviti pertubuhan terutama bab integriti pengurusan dana awam.

“Jika senarai AJK dan laporan kewangan semua NGO setiap tahun dipamerkan dalam sebuah portal, ia memudahkan masyarakat menyemak tahap integriti sesebuah NGO dengan mudah.

“Jika laporan audit kewangan setiap tahun pun gagal dihantar. Bagaimana kita nak percaya pengurusan sesuatu NGO itu boleh dipercayai?” katanya kepada MalaysiaNow.

Aliff berkata, semakan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan mendapati, Rumah Bonda sudah setahun didaftarkan sebagai NGO namun masih belum menghantar laporan kewangan.

MalaysiaNow terdahulu pernah menyiarkan laporan mengenai ketelusan NGO yang perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan  pertubuhan disalahguna bagi tujuan mengaut keuntungan peribadi.

Ini kerana Bank Negara Malaysia membenarkan 30% kutipan derma untuk kos pengurusan.

Kejadian yang menimpa Bella menggemparkan negara dengan warga maya menggunakan tanda pagar #JusticeforBella bagi mendapatkan keadilan untuk anak istimewa itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin turut menyatakan keprihatinan beliau.

“Kesan penderitaan Bella akibat didera dalam paparan video tersebut sangat menyayat hati dan meruntun jiwa. Seperti rakyat Malaysia yang lain, saya juga amat

terkesan melihat paparan video dan foto-foto yang menunjukkan nasib malang remaja kelainan upaya ini.

“Saya berharap pelaku yang bertindak melakukan penderaan terhadap Bella mendapat hukuman yang setimpal dan anak syurga ini terus mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Mengikut laporan media sebelum ini, adik Bella ditemui di Kuala Lumpur bersendirian.

Tiada maklumat diperoleh mengenai ibu bapa atau ahli keluarganya yang lain.