- Iklan -
Berita

Turki kecam tentera Israel cemari Masjid Al-Aqsa

Tindakan provokasi berterusan selepas serangan Israel terhadap Masjid Al-Aqsa pada Mei lalu masih segar dalam ingatan orang ramai.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Polis Israel mengawal penganut Yahudi melawat Kubah Al-Sahraa' di Masjid Al-Aqsa. Gambar: AP
Polis Israel mengawal penganut Yahudi melawat Kubah Al-Sahraa' di Masjid Al-Aqsa. Gambar: AP

Turki pada Ahad mengecam tindakan tentera Israel “mencemari kesucian Haram Al-Sharif” dan membiarkan pendatang Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa, lapor Agensi Anadolu.

Kementerian luar dalam satu kenyataan bertulis menyatakan: “Kami mengutuk tentera Israel yang sekali lagi mencemari kesucian Haram al-Sharif dengan membiarkan kumpulan Yahudi menyerbu Masjid Al-Aqsa, menggunakan bom tangan, mengganggu ibadah dan menahan rakyat Palestin termasuk kanak-kanak dan wanita, jelas menunjukkan pencabulan terhadap hak dan maruah seorang manusia”.

Menurut kenyataan itu lagi tindakan provokasi sedemikan “sangat berbahaya” andai dibiarkan berterusan ketika serangan Israel terhadap Masjid Al-Aqsa pada Mei lalu masih segar dalam ingatan.

“Kami mengulangi semula gesaan kami kepada rejim Israel untuk menghentikan segera tindakan dan serangan provokasi ini,” tambah kenyataan itu.

Lebih 500 pendatang Israel menceroboh kompleks Masjid Al-Aqsa pada Ahad, menurut sebuah agensi Palestin.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis menyatakan pendatang masuk ke kompleks itu melalui Pintu Al-Mughrabi yang dikuasai Israel, di bahagian barat daya masjid, dan melakukan ritual.

Pada Sabtu, ratusan pendatang berarak di Baitulmaqdis Timur yang diduduki sebelum melancarkan serangan mengejut pada Ahad.