- Iklan -
Berita

Buang mentaliti ‘bunker’, kata pakar berhubung sekatan pergerakan

Mereka berkata Malaysia memerlukan pendekatan baru dalam usaha melawan Covid-19.

Ahmad Mustakim Zulkifli dan Farhira Farudin
4 minit bacaan
Kongsi
Seorang anggota tentera berdiri di hadapan rumah pengawal yang dipasang duri kawat ketika kawasan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan di Petaling Jaya awal bulan ini.
Seorang anggota tentera berdiri di hadapan rumah pengawal yang dipasang duri kawat ketika kawasan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan di Petaling Jaya awal bulan ini.

Beberapa pakar menggesa kerajaan untuk membuang “mentaliti bunker” yang hanya melaksanakan sekatan pergerakan penuh atau “lockdown” bagi mengekang jumlah jangkitan Covid-19 yang mencapai bilangan tertinggi lebih dari 13,000 minggu lalu walaupun perintah kawalan pergerakan yang ketat dilaksanakan sejak Jun l.

Ketua eksekutif kumpulan pemikir dasar kesihatan dan sosial, Galen Centre, Azrul Mohd Khalib berkata sekatan pergerakan penuh dan perintah kawalan akan mewujudkan persekitaran dan rasa selamat yang palsu.

“Kita harus belajar untuk urus dan hidup dengan penyakit ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Itulah sebabnya penting bagi orang ramai mendaftar dan diberi vaksin secepat mungkin.”

Sekatan pergerakan penuh atau PKP 3.0, dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu.

Pengumuman pelaksanaannya dibuat beberapa hari selepas Ketua Pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran kepada rakyat Malaysia untuk bersedia “menghadapi situasi terburuk” di tengah-tengah trend kes jangkitan Covid-19 yang meningkat dalam negara.

Ketika pengumuman itu dibuat, kes harian masih berada pada tahap sekitar 8,200.

Ia juga diumumkan ketika ramai pihak mulai berdebat mengenai kehidupan dan kelangsungan hidup rakyat ekoran perniagaan yang dianggap tidak perlu akan ditutup setiap kali sekatan pergerakan dilaksanakan.

Azrul berkata, kerajaan tidak boleh terus bergantung dengan pendekatan yang sama sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan tahun lalu kerana wabak itu sudah lama masuk ke dalam masyarakat.

“Epidemik dengan tahap kebolehjangkitan ketika ini bermaksud tahap kepatuhan yang tinggi terhadap SOP dan amalan kebersihan yang baik kemungkinan besar akan memberi kesan lebih besar daripada pelaksanaan sekatan pergerakan, yang hanya memberikan hasil sementara dan tidak berkekalan,” katanya dan menambah sekatan pergerakan harus menjadi jalan terakhir dalam keputusan kerajaan.

Intervensi tahap rendah

Dr Sanjay Rampal, seorang ahli epidemiologi di Universiti Malaya, bersetuju keberkesanan sekatan pergerakan menurun sejak tahun lalu.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau menambah sekatan pergerakan penuh hanya mempunyai kesan sementara dan memakan kos yang tinggi.

Beliau berkata sekatan pergerakan penuh yang disifatkan sebagai “intervensi tahap rendah”, yang hanya dapat mengurangkan penularan wabak dalam masyarakat jika seluruh negara berada dalam keadaan terkurung selama empat hingga lapan minggu.

“Namun, ia memberi kesan dan gangguan terhadap psikologi, sosial, dan ekonomi,” katanya.

Walaupun dengan kebimbangan ekoran kewujudan varian Delta di negara ini, Sanjay berkata sekatan pergerakan penuh tidak semestinya menjadi langkah yang berkesan sekiranya sektor-sektor tertentu masih dibenarkan beroperasi.

“Varian Delta lebih mudah menular, tetapi akibat daripada penyakit ini tidak bertambah baik,” katanya.

“Sekatan pergerakan penuh terbaru juga tidak begitu berkesan, sebahagiannya disebabkan oleh penurunan intensiti yang memungkinkan lebih banyak pergerakan oleh pekerja untuk mengurangkan kesan kewangan dan ekonominya.”

Sanjay turut berkata , hasil sekatan pergerakan dilihat hanya bersifat sementara, dengan kes-kes yang meningkat selepas ia di tidak lagi dilaksanakan.

Banyak kegagalan

Bagaimanapun Malaysia tidak sendirian dalam usahanya untuk mencari jalan keluar daripada peningkatan jangkitan Covid-19.

Walaupun beberapa negara berjaya mengawal jumlah jangkitan , masih banyak negara lain menghadapi kes yang tidak kunjung berakhir.

Seorang ahli biokimia klinikal Dr Salvatore Chirumbulo bercakap mengenai kegagalan langkah sekatan pergerakan di Itali, negara Eropah pertama yang dilanda wabak global tersebut.

Sekatan pergerakan paling ketat di Itali dikuatkuasakan dari 8 Mac hingga 31 Mei tahun lalu, selepas itu pemerintahnya membuat peta amaran mengkategorikan kawasan mengikut warna seperti zon merah, kuning dan hijau seperti yang turut dilaksanakan Malaysia.

Namun Chirumbulo berkata kes dan kematian masih terus berlanjutan di negara itu walaupun langkah-langkah kawalan pergerakan dilaksanakan.

“Banyak kegagalan itu disebabkan oleh penutupan di rumah, klinik, hospital, tempat kerja, yang menyebabkan ahli keluarga yang dijangkiti atau kenalan yang dijangkiti duduk dalam ruang yang sama. Protokol terapi di rumah adalah cetek dan kekok,” katanya dan menambah data juga tidak menentu selain komunikasi yang tidak telus.

Mengenai perintah kawalan terbaru di Malaysia, beliau berkata sukar untuk menghalang penularan virus di kawasan yang kepadatan penduduknya tinggi.

“Kepadatan penduduk adalah salah satu faktor yang harus dipertimbangkan bagi sebarang dasar untuk laksanakan sekatan pergerakan,” katanya dan menambah pembahagian usia, keramaian, kepadatan penduduk bandar, kawasan luar bandar, kekerapan komunikasi dalam kalangan rakyat dan kebolehpercayaan terhadap sektor penjagaan kesihatan juga harus diambil kira.

Beliau berkata alternatif yang lebih baik adalah mengurangkan hospitalisasi pesakit dengan meningkatkan terapi di rumah dalam tempoh tiga hari pertama gejala Covid-19.

Dikuatkuasakan untuk sementara

Di New Zealand, kementerian kesihatannya mengaitkan kejayaannya dalam membendung penyebaran Covid-19 dengan penggunaan sistem amaran.

“Pada Mac tahun lalu, kurang dari sebulan selepas kes pertama disahkan di negara ini, sistem peringatan amaran dibuat dengan empat tahap berbeza, dan negara tersebut memasuki tahap Amaran Tahap Empat lockdown,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaNow.

Sistem Amaran Tahap Empat memerintahkan semua orang selain pekerja di sektor perlu duduk di rumah.

Hanya perkhidmatan perlu seperti pasar raya dan stesen minyak dibenarkan beroperasi, dengan langkah-langkah kawalan pencegahan jangkitan standard.

Setelah tiga minggu di Amaran Tahap Empat, negara maju itu merendahkan sistem ke Amaran Tahap Tiga.

Bagaimanapun, kementeriannya berkata langkah-langkah lain adalah sama penting termasuk vaksinasi, pengasingan dan kuarantin, pengesanan kontak dan mesej kebersihan asas yang menggesa orang tinggal di rumah.

Azrul bersetuju negara-negara seperti New Zealand dan Korea Selatan mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai keadaan epidemiologi sehingga memungkinkan mereka untuk menyasarkan pada tempat tertentu ketika pelaksanaan perintah kawalan mereka.

“Korea Selatan, misalnya, memiliki tahap kepatuhan SOP yang sangat tinggi dan strategi pengujian agresif untuk kes baru.

“Mereka memahami bahawa lockdown itu hanya untuk sementara dan demi memastikan sistem kesihatan mereka tidak dibebani.

“Lockdown bukan bertujuan untuk kurangkan jumlah yang dijangkiti dan menghilangkan penyakit ini,” katanya.