Seorang ketua balai adalah antara empat anggota polis yang ditahan kerana berhibur di sebuah balai polis di Kajang petang semalam.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Azri Ahmad berkata selain anggota polis itu, empat wanita tempatan turut ditahan dalam serbuan pada kira-kira 6 petang itu.
“Saya mengesahkan JIPS Bukit Aman ada membuat serbuan di sebuah balai polis di daerah Kajang petang semalam.
“Semua lapan individu yang ditahan berumur lingkungan 21 hingga 54 tahun, mereka disiasat kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala empat anggota polis yang terlibat turut berdepan tindakan tatatertib,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bernama difahamkan dalam serbuan semalam, empat anggota polis berpangkat sub inspektor, dua koperal dan seorang koperal sokongan bersama empat wanita ditahan ketika sedang berhibur di dalam bilik khas di balai polis berkenaan.
Difahamkan dalam serbuan oleh JIPS Bukit Aman itu, polis turut merampas antaranya beberapa botol air disyaki air ketum, botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, mikrofon dan televisyen.
Ketika serbuan dilakukan, difahamkan juga bilik itu dalam keadaan gelap dengan lampu disko berputar dan sekumpulan lelaki serta wanita menari dan berkaraoke.
Sementara itu, Azri berkata tindakan pegawai, anggota dan orang awam terbabit yang berhibur di sebuah bilik di balai polis adalah menyalahi SOP Covid-19.
Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota yang melanggar SOP yang digariskan kerajaan.
Siasatan lanjut masih dijalankan, katanya sambil memberitahu JIPS menjalankan siasatan berhubung salah laku dan tatatertib manakala yang lain diserahkan kepada bahagian-bahagian berkenaan untuk siasatan dan tindakan lanjut.