- Iklan -
Berita

Varian Delta akan menjadi dominan dalam tempoh beberapa bulan lagi, kata WHO

Penularan varian Delta telah melebihi 75% di beberapa buah negara termasuk India, Indonesia, Singapura dan Australia.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Varian Delta menular di India sehingga menyebabkan negara itu berdepan krisis pandemik yang dahsyat. Setakat 15 Julai, WHO berkata 15 negara lagi telah merekodkan kes varian Delta pertama termasuk Ecuador, Nigeria dan Afghanistan. Gambar: AP
Varian Delta menular di India sehingga menyebabkan negara itu berdepan krisis pandemik yang dahsyat. Setakat 15 Julai, WHO berkata 15 negara lagi telah merekodkan kes varian Delta pertama termasuk Ecuador, Nigeria dan Afghanistan. Gambar: AP

Varian Delta Covid-19 yang jangkitannya mudah menular dijangka menjadi varian virus yang dominan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu.

Varian Delta, yang dikesan kali pertama di India, kini telah direkodkan tersebar di 124 wilayah dan menyumbang lebih dari tiga perempat spesimen yang dijujuk di kebanyakan negara-negara utama, kata WHO.

“Ia dijangka akan mendahului varian lain dan menjadi dominan dalam beberapa bulan akan datang,” kata agensi kesihatan PBB dalam kemas kini epidemiologi mingguannya.

Dari tiga varian yang dibimbangi (VOC), Alpha, yang dikesan di Britain, telah dilaporkan di 180 wilayah, Beta, yang dikesan di Afrika Selatan, dilaporkan di 130 wilayah sementara Gamma, yang dikesan di Brazil, dilaporkan di 78 wilayah.

Menurut jujukan SARS-CoV-2 yang diserahkan kepada inisiatif sains global Gisaid selama empat minggu hingga 20 Julai, penularan varian Delta telah melebihi 75% di beberapa buah negara.

Ia termasuk Australia, Bangladesh, Botswana, Britain, China, Denmark, India, Indonesia, Israel, Portugal, Rusia, Singapura dan Afrika Selatan.

“Bukti didapati semakin meningkat telah menyokong bahawa wujud peningkatan penularan jangkitan varian Delta dibanding varian bukan VOC.

“Bagaimanapun, mekanisme yang tepat bagi peningkatan penularan varian itu masih tidak jelas,” kata WHO.