- Iklan -
Berita

Tak mahu ragu, rakam video suntikan, kata Khairy

Ia menjadi SOP tambahan susulan beberapa dakwaan penerima vaksin yang mengatakan picagari suntikan yang diterima mereka adalah kosong dan kurang dos ketika vaksinasi.

Farhira Farudin
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan Pusat Perubatan Ara Damansara memberi suntikan vaksin Sinovac kepada seorang orang kelainan upaya (oku) secara pandu lalu di Pusat Pemberian OKU di Menara Sime Darby Plantation, Subang.
Petugas kesihatan Pusat Perubatan Ara Damansara memberi suntikan vaksin Sinovac kepada seorang orang kelainan upaya (oku) secara pandu lalu di Pusat Pemberian OKU di Menara Sime Darby Plantation, Subang.

Penerima vaksin dibenarkan untuk merakamkan proses vaksinasi mereka sebagai sebahagian prosedur operasi standard (SOP) susulan beberapa dakwaan segelintir pihak yang menerima dos yang kurang daripada sepatutnya.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata semua pusat pemberian vaksin (PPV) turut diarahkan untuk menunjukkan picagari mengikut dos sebelum ia disuntik.

Arahan tersebut adalah susulan penularan dakwaan beberapa penerima yang mengatakan mereka disuntik picagari kosong tanpa dos vaksin.

“Untuk tidak berlaku apa apa keraguan lagi, saya sudah beri arahan kita pastikan SOP sedia ada untuk tunjuk picagari sebelum suntikan berlaku,” katanya, merujuk Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

“Sekarang boleh video suntikan vaksin. Jadi, anda sudah ada bukti kukuh terima dos sepatutnya bagi vaksinasi.”

Bercakap pada sidang media hari ini, beliau berkata CITF telah menjalankan siasatan dan menerima 13 laporan polis mengenai suntikan kosong dan salah dos, di mana kebanyakan kes “terbukti palsu dan tidak dapat disahkan”.

“Dalam beberapa kes, kita sudah periksa dengan jururawat atau doktor di beberapa PPV, pengendali kesihatan mengatakan mereka telah beri sempurna dos kepada penerima,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata insiden melibatkan suntikan kosong di pusat vaksinasi pandu lalu di Sungai Petani sudah disahkan, dan petugas kesihatan yang terlibat juga mengakui telah cuai disebabkan keletihan.

Beliau menambah amaran dan tindakan tatatertib sudah dikenakan terhadapnya.

“Saya ambil serius setiap rungutan daripada orang ramai dan saya tak mahu ringankan perkara ini,” katanya.

“Walaupun satu sahaja kesilapan, itu pun sudah cukup besar bagi kita.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.