- Iklan -
Berita

WHO beri amaran kesan jangka panjang Covid-19 terhadap kesihatan mental

Kesan pengasingan sosial, kehilangan ahli keluarga dan peluang, menyumbang peningkatan stres dan kegelisahan melampau terhadap kesihatan mental.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
WHO menggesa sistem sokongan bagi kesihatan mental di sekolah, tempat kerja dan universiti ditingkatkan dan diperkukuhkan.
WHO menggesa sistem sokongan bagi kesihatan mental di sekolah, tempat kerja dan universiti ditingkatkan dan diperkukuhkan.

Kesan pandemik Covid-19 terhadap kesihatan mental akan “berlarutan untuk jangka masa panjang”, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Amaran itu dikeluarkan ketika pakar menggesa tindakan diambil terhadap kes tekanan dan kegelisahan melampau akibat Covid-19.

“Semua orang terkesan dengan Covid-19,” kata WHO dalam satu kenyataan awal pada persidangan menteri kesihatan membabitkan pelbagai negara yang berlangsung dua hari di Athens.

Ia menyatakan ‘kegelisahan mengenai penularan virus, kesan psikologi dari perintah berkurung dan kuarantin diri’ menyumbang kepada krisis kesihatan mental, bersama dengan tekanan yang berkaitan dengan pengangguran, masalah kewangan dan pengasingan sosial.

“Kesan kesihatan mental daripada pandemik ini akan berlarutan untuk jangka panjang,” kata kenyataan itu.

Pengarah Serantau WHO Eropah, Hans Kluge berkata kesihatan mental perlu dianggap sebagai “hak asasi manusia”.

“Pandemik telah menggegarkan dunia. Lebih dari empat juta nyawa hilang di seluruh dunia, hilang sumber pendapatan, keluarga dan masyarakat terpisah, perniagaan muflis, dan orang ramai hilang peluang,” katanya.

WHO menggesa supaya perkhidmatan kesihatan mental secara umum diperkukuhkan dan peningkatan akses untuk rawatan melalui penggunaan teknologi.

Dalam pada itu, WHO turut mendesak penyediaan perkhidmatan sokongan psikologi yang lebih baik di sekolah, universiti, tempat kerja dan petugas barisan hadapan yang terbabit dalam memerangi Covid-19.

Pada persidangan itu, menteri yang hadir mendengar pengalaman seorang wanita Greece berusia 38 tahun bernama Katerina yang menceritakan bagaimana beliau menerima rawatan psikiatri sejak 2002 dan berjaya mengatasi masalah mentalnya dengan baik sehinggalah wabak Covid-19 menular.

Beliau memberitahu, dirinya tidak lagi dapat menghadiri pertemuan bersemuka dengan kumpulan sokongan dan tidak dapat melawat ayahnya, sehingga terpaksa meningkatkan rawatannya.

“Tekanan pengasingan sosial menyebabkan peningkatan kegelisahan,” katanya.