- Iklan -
Berita

2 bulan tiada kerja, pekerja migran buntu teruskan kehidupan

Sekumpulan pekerja migran yang tidak mendapat apa-apa bantuan terpaksa catu makanan demi meneruskan kehidupan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Mamun Miah, 35 berbual dengan anaknya yang berada di Bangladesh, mereka menghabiskan waktu di rumah bertemankan telefon bimbit masing-masing bagi menghilangkan kebosanan tidak bekerja sepanjang PKP 3.0.
Mamun Miah, 35 berbual dengan anaknya yang berada di Bangladesh, mereka menghabiskan waktu di rumah bertemankan telefon bimbit masing-masing bagi menghilangkan kebosanan tidak bekerja sepanjang PKP 3.0.

Sejak tujuh tahun lalu, Mamun akan bangun pukul 8.00 pagi setiap hari dan bersiap untuk berjalan kaki ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur.

Dia bekerja di sebuah premis cuci kereta selama 10 jam setiap hari kecuali hari cutinya pada Rabu sebelum pulang ke rumah sewanya.

Namun rutin harian warga Bangladesh itu terganggu sejak dua bulan lalu apabila premis cuci keretanya terpaksa menutup operasi akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Dengan penutupan operasi, Mamun dan tiga lagi rakan sekerjanya tidak mempunyai sebarang pendapatan untuk meneruskan kehidupan.

Sejak itu, kehidupan mereka dari hari ke hari semakin sukar.

“Kami sudah dua bulan tidak membayar sewa rumah, bil elektrik dan bil air kerana tiada gaji,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow.

Lawatan MalaysiaNow ke unit rumah mereka di sebuah kawasan rumah kedai mendapati keadaan rumah yang agak daif dengan hanya dilengkapi kelengkapan asas.

Lelaki berusia 35 tahun itu berkata, mereka hanya banyak menghabiskan masa duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa.

Selain itu, terdapat juga kerisauan akan ditahan polis sekiranya berada di luar rumah.

Pekerja asing dari Bangladesh menghabiskan waktu di rumah dengan berbual bagi menghilangkan kebosanan. Sepanjang perintah kawalan pergerakan 3.0, pusat cucian kenderaan tidak dibenarkan beroperasi menyebabkan mereka hilang pekerjaan dan tiada pendapatan.

Mereka antara ribuan pekerja migran yang gusar akan ditahan meskipun mempunyai dokumen, selepas kementerian dalam negeri bulan lepas menekankan pendekatan menahan pendatang asing tanpa izin.

Mamun sudah 13 tahun bekerja di Malaysia.

Sebelum ini, dia bekerja di sebuah kilang elektronik di Pulau Pinang.

Dia dan rakannya memaklumkan mereka tidak tahu-menahu mengenai bantuan daripada pihak-pihak yang bermurah hati terhadap sesiapa yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Bos ada bertanya mengenai keadaan kami dan pernah memberi sedikit wang kepada kami. Namun, kami faham keadaannya yang tidak mampu membayar gaji kami kerana penutupan kedai cuci kereta,” katanya.

Mereka tinggal dengan dua lagi rakan yang bekerja di sebuah syarikat tempatan, menjadikan jumlah penghuni seramai enam orang.

Sewa rumah sebanyak RM900 sebulan itu dikongsi antara mereka.

Rakan mereka itu juga antara yang diminta bercuti tanpa gaji.

Dengan kesemua enam orang tidak mempunyai sebarang pendapatan, tiada aktiviti lain yang mampu dibuat mereka sebagai ganti kehilangan sumber pendapatan.

Seorang lagi penghuni rumah yang juga rakan sekerja Mamun, Mohamad berkata, dia juga menghadapi situasi sama.

Liton Fakir (kiri) bersama rakan serumahnya bersiap sedia untuk makan tengah hari dengan menu telur dadar dan nasi sepanjang tempoh PKP 3.0.

Menurut Mohamad, mereka mencatu makanan untuk mengelakkan kelaparan di kemudian hari.

“Kalau dulu, kami makan macam biasa tapi sekarang kami makan sehari sekali. Lebih kurang pukul 3.00 petang baru kami makan untuk mengelakkan rasa lapar di malam hari jika kami makan pada waktu makan tengah hari.

“Menu harian kami nasi, sayur dan kadang-kadang ada telur,” katanya kepada MalaysiaNow.

Setelah empat tahun bekerja dan menghantar wang ke kampung dia mungkin terpaksa meminta bantuan dari kampungnya.

“Saya akan tunggu pada hujung bulan ini untuk lihat sekiranya PKP masih diteruskan. Sekiranya masih tiada perubahan, saya terpaksa minta bantuan daripada ibu bapa saya di kampung,” katanya.

Mereka berharap agar kerajaan membuka semula sektor ekonomi bagi mereka meneruskan kehidupan seperti biasa.

Ditanya mengenai kesungguhan mereka untuk kembali bekerja, Mamun berharap agar dapat menerima dos vaksin segera.

“Sudah tentu kami juga mahu vaksin Cocid-19. Kami mempunyai dokumen dan sudah memohon dan berharap agar giliran kami tiba untuk kembali bekerja,” katanya.

Dia memberitahu, ada juga rakannya yang tidak mempunyai dokumentasi namun berharap untuk menerima vaksin.

Katanya, rakan-rakannya yang tidak berdokumentasi itu mempunyai kegusaran sekiranya akan ditangkap dan dihantar pulang ketika keluar mengambil vaksin.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan membenarkan suntikan vaksin secara “walk-in” mulai 1 Ogos di mana-mana pusat pemberian vaksin bagi mereka yang tidak mempunyai tarikh janji temu atau mereka yang tiada dokumentasi.

Ketika hari silih berganti, Mamun dan rakan-rakannya masih berharap agar keadaan bertambah lebih baik untuk mereka meneruskan kehidupan.

Notis yang diterima untuk membayar sewa pada bulan depan atau berdepan risiko diusir keluar hanya akan menambah beban mereka.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.