- Iklan -
Berita

Pemain sektor seni rayu adakan persembahan, pameran sepanjang sekatan pergerakan penuh

Mereka berkata seni adalah aset budaya dan persembahan harus dibenarkan kerana pandemik Covid-19 belum menunjukkan tanda akan berakhir.

Farhira Farudin
3 minit bacaan
Kongsi
Galeri seni G13 yang dikategori sebagai tidak perlu telah menutup ruangnya sepanjang sekatan pergerakan penuh. Bagaimanapun, untuk melangsungkan operasi, ia beralih melaksanakan pameran dalam talian.
Galeri seni G13 yang dikategori sebagai tidak perlu telah menutup ruangnya sepanjang sekatan pergerakan penuh. Bagaimanapun, untuk melangsungkan operasi, ia beralih melaksanakan pameran dalam talian.

Komuniti seni tempatan menggesa kerajaan membenarkan kegiatan seni diadakan sepanjang sekatan pergerakan penuh, mengatakan industri itu harus dianggap sebagai penting terutama ketika orang ramai berdepan situasi sukar sekali gus bagi membantu mereka menghadapi kesukaran krisis pandemik.

Faridah Merican, pengasas bersama dan penerbit eksekutif Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC), berkata pusat itu kini hanya memiliki baki sebanyak RM5,000 dalam akaun bank untuk bertahan sepanjang bulan ini.

Dalam surat terbuka kepada Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Mohd Rabin Basir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah serta Menteri Pelancongan Nancy Shukri, Faridah mengatakan separuh daripada kerugian bulanan pusat itu berpunca daripada sewaan premis yang tertunggak sebanyak 80% sejak tahun lalu.

Kakitangan KLPAC juga turut mengalami penurunan gaji hingga 60% sejak pelaksanaan ketiga perintah kawalan pergerakan (PKP) atau PKP 3.0.

“Apa yang kami peroleh dari segi jualan tiket melalui satu bulan pertunjukan dalam talian, yang dijalankan secara keseluruhan sebanyak empat kali, adalah kurang daripada separuh jika dibanding dengan apa yang kami perolehi dari satu persembahan secara langsung.

“Kemungkinan besar mereka akan ditukar menjadi kakitangan kontrak tidak lama lagi,” katanya dalam surat tersebut.

“Kami berusaha sebaik mungkin untuk berpegang teguh pada janji bahawa kami tidak akan memberhentikan mereka.”

Faridah turut berkata sudah tiba masanya untuk membenarkan aktiviti seni dijalankan semula, menambah “Covid-19 mungkin akan berterusan untuk tempoh yang lama”.

“Adakah maksudnya aktiviti seni akan mati sepanjang 2022 dan tahun-tahun seterusnya? Hal ini akan menyebabkan pemulihan sektor seni semakin lambat berlaku.

“Daripada meletakkan sektor seni dalam senarai negatif, menutup operasinya dan menjadi sektor yang terakhir dibuka semula, kita harus terima hakikat dan ubah naratif ini.

“Sudah tiba masanya Malaysia memutuskan apakah ia masih mahu seni menjadi sebahagian daripada landskap tempatan ketika kita bangkit semula daripada bencana ini,” katanya.

Sementara itu, pengasas Galeri G13 Kenny Teng berkata dia banyak belajar untuk menyesuaikan diri dengan pandemik yang melanda negara ketika ini.

Sejak 2017, laman sesawang Galeri G13 menawarkan kepada pengunjung cara unik melawat galeri seni secara maya, sebuah ciri yang direka khas untuk mereka yang tidak dapat mengunjungi galeri secara fizikal.

Ketika galeri seni ditutup semasa PKP, Teng menyedari pandemik m memberi peluang kepada Galeri G13 untuk benar-benar memanfaatkan kaedah maya tersebut.

“Ideanya adalah untuk mempamerkan karya kita kepada khalayak global kerana sepanjang 10 tahun kami dalam bidang seni, kami terlibat dengan orang-orang dari luar Malaysia dan kami memiliki pengumpul seni dari luar negara.

“Jadi, ketika wabak ini melanda, kami sudah mengetahui sistem dan infrastruktur (yang boleh digunakan),” katanya.

“Apa yang kami lakukan adalah memanfaatkannya dan ubah sepenuhnya pameran fizikal menjadi pameran dalam talian.”

Walaupun galeri dalam talian menarik ramai artis tempatan, wujud juga mereka yang berkata pengalaman pameran maya tidak sama dengan pameran fizikal.

Bagaimanapun Teng berkata mustahil untuk galeri menangguhkan pameran-pamerannya sehingga m dapat dibuka semula secara fizikal, sambil menambah menggunakan kaedah pameran maya secara dalam talian sepenuhnya adalah salah satu cara galeri melangsungkan operasinya.

“Sebilangan artis sukar terima cara begini kerana mereka harap orang datang dan berinteraksi dengan karya mereka,” katanya.

“Namun hakikatnya, kita tidak lagi boleh menunggu pameran fizikal dijalankan semula.”

Teng bersetuju seni harus dikategorikan sebagai sektor yang penting, ia tidak semestinya dipandang dari segi ekonomi bahkan kesannya terhadap budaya juga perlu dipandang secara serius.

“Sekiranya pertunjukan seni dibatalkan, artis, kedai percetakan, orang-orang yang menjaga laman sesawang kami dan seluruh ekosistem akan terjejas. Ini adalah aset budaya bagi negara kita dan kita tidak boleh berhenti.”

Artis visual tempatan, Louise Low baru-baru ini mempamerkan siri karya yang merangkumi pengalaman perasaan terperangkap, terutama dalam tempoh PKP.

Pada awalnya, karya itu dijadualkan untuk dipamerkan di Taiwan dalam sebuah projek berjudul CAGE atau TRAPPED.

CAGED, karya Louise Low.

Karyanya itu dibina daripada silikon di atas cermin bagi memberikan kesan reflektif kepada penonton.

“Saya dapati siri karya ini sangat sesuai buat masa sekarang, jadi saya putuskan untuk pamerkannya sekali lagi,” kata Low.

“Karya ini bersifat peribadi bagi saya, kerana saya merasakan perasaan itu sepanjang pandemik ini, ada banyak berita negatif beredar dan semua orang perlu mencari jalan untuk terus positif dalam kehidupan demi mencapai keseimbangan.

“Apa yang saya cuba katakan, walaupun anda terperangkap semasa lockdown, keadaan fikiran anda adalah lebih penting,” tambahnya.

Dengan pameran seni terpaksa ditangguh dan galeri pula terpaksa ditutup, Low berkata situasi ketika ini memaksa ramai artis termasuk dirinya untuk menangguhkan kerja mereka dan mencari cara lain mendapatkan pendapatan.

Low turut menasihatkan seniman lain mengambil pekerjaan sampingan bagi keperluan diri sendiri daripada hanya menunggu aktiviti seni dibenarkan beroperasi semula.

“Saya rasa seniman harus lebih rasional untuk pertimbangkan keperluan hidup juga. Sekiranya anda bergelut, lebih baik dapatkan pekerjaan yang dapat buat anda terus hidup,” katanya.

“Lagipun, kita akan sentiasa menjadi seniman sepanjang hidup kita. Seni kita boleh tunggu, tetapi kesihatan fizikal dan mental kita tidak boleh.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.