- Iklan -
Berita

Garis panduan pendatang tanpa izin, pelarian terima suntikan diluluskan CITF

Membolehkan pendatang tanpa izin dan pelarian, hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) ditetapkan untuk divaksinasi, dengan butiran mengenainya akan dimaklumkan kelak.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Warga asing beratur panjang bagi melakukan ujian saringan Covid-19 di Klinik Laurent Bleu USCI di Taman Connaught, Cheras.
Warga asing beratur panjang bagi melakukan ujian saringan Covid-19 di Klinik Laurent Bleu USCI di Taman Connaught, Cheras.

Garis panduan untuk pendatang tanpa izin dan pelarian mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 diluluskan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, garis panduan yang diluluskan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) itu, akan membolehkan pendatang tanpa izin dan pelarian, hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) ditetapkan untuk divaksinasi, dengan butiran mengenainya akan dimaklumkan kelak.

Khairy dalam temu bual bersama media secara maya baru-baru ini berkata, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Bulan Sabit Merah akan dilibatkan dalam urusan vaksinasi pelarian dan pendatang tanpa izin itu.

“Pendatang tanpa izin dan pelarian ini akan lebih selesa jika ada PPV dikendalikan NGO yang pernah memberi perkhidmatan kesihatan kepada kumpulan ini. Dengan ini, mereka tidak akan takut untuk datang ke PPV untuk divaksinasi,” katanya.

Khairy yang berharap garis panduan itu akan mendorong pendatang tanpa izin dan pelarian tampil untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 berkata : “Kita harap pendatang tanpa izin dan pelarian yang akan terima vaksinasi nanti, akan beritahu pengalaman mereka kepada rakan-rakan dari negara sama untuk tampil ke depan untuk terima suntikan.

“Jangan takut datang ke PPV untuk divaksinasi. Ini penting kerana mereka juga berisiko dan merisikokan orang lain. Tiada yang selamat sehingga semua selamat,” katanya.

Ditanya adakah “Operasi Lonjakan Kapasiti” akan diperluaskan ke negeri lain, Khairy berkata keputusan untuk melaksanakan operasi tersebut di lokasi lain, akan ditentukan berdasarkan kadar insiden penularan wabak COVID-19.

Menerusi “Operasi Lonjakan Kapasiti” yang diperkenalkan untuk membendung penularan pandemik Covid-19 di Lembah Klang, setiap individu dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor akan dipastikan menerima sekurang-kurangnya satu dos menjelang 1 Ogos.

Mengenai rungutan masih ramai yang tidak mendapat janji temu untuk suntikan vaksin Covid-19 meskipun lama mendaftar, Khairy berkata algoritma yang digunakan dalam aplikasi MySejahtera untuk memberi janji temu adalah mengikut tarikh pendaftaran vaksin.

Namun demikian katanya, janji temu juga diberikan mengikut lokasi serta fasa-fasa keutamaan yang ditentukan dalam PICK.

“Sebagai contoh daerah Rembau selesai fasa 2 PICK, jadi janji temu untuk fasa 3 akan diberikan dan ia mengikut urutan ditetapkan.

“Ada juga hospital yang mempunyai senarai menunggu, iaitu mereka yang sentiasa pergi ke klinik atau hospital untuk rawatan. Keutamaan akan diberikan kepada mereka ini,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.