Ketika beberapa kumpulan doktor kontrak di Lembah Klang berhimpun di jalan raya hospital tempat mereka bertugas sebagai sebahagian daripada gerakan Hartal Doktor Kontrak, namun suasana di Sarawak nampaknya sangat berbeza.
Di Hospital Umum Sarawak, tidak ada kelibat himpunan atau sesiapa yang memakai pakaian berwarna hitam bagi menandakan himpunan gerakan protes tersebut.
Seorang doktor yang memperkenalkan dirinya sebagai Dr Marli berkata dia sudah menjadi doktor kontrak sejak dua tahun lalu.
Marli memberitahu MalaysiaNow dia tidak dapat menyertai mogok tersebut kerana berada di wad merawat beberapa orang pesakit.
“Protes bermula pukul 11 pagi dan saya pula sedang sibuk di wad, uruskan pesakit-pesakit,” katanya.
“Bukannya saya tak sokong. Sebagai seorang doktor kontrak, sudah pasti saya sokong gerakan ini, tapi kalau saya tinggalkan wad dan ikut serta mogok, apa yang akan jadi kepada pesakit-pesakit?”
Pegawai keselamatan yang ditugaskan untuk memantau aliran trafik di pintu masuk lobi hospital turut diarahkan unuk memeriksa situasi setiap 15 minit bagi memastikan tidak ada kerumunan dalam kawasan tersebut.
Salah seorang daripada mereka berharap doktor kontrak tidak mengadakan tunjuk perasaan di hospital tersebut terutama ketika musim pandemik.
“Dalam keadaan genting yang kita hadapi sekarang, apa yang kita perlukan adalah semua orang mainkan peranan masing-masing bagi menghentikan penularan wabak Covid-19,” katanya.
Dia turut menambah pakar kesihatan awam juga turut menasihatkan orang ramai untuk berfikir dahulu sebelum mengadakan tunjuk perasaan.
Mogok yang dianjurkan gerakan Hartal Doktor Kontrak sebelum ini dirancang untuk diadakan di hospital-hospital kerajaan dan beberapa klinik di seluruh negara sebagai sebahagian daripada tunjuk perasaan menuntut penempatan jawatan tetap dalam perkhidmatan awam.
Sistem kontrak diperkenalkan bekas perdana menteri Najib Razak untuk graduan perubatan, pergigian dan farmasi dalam pembentangan Belanjawan 2017 di Dewan Rakyat, dengan alasan kekangan jawatan tetap dalam sektor perkhidmatan awam
Kumpulan itu sebelum ini mendakwa kira-kira 4,000 doktor akan menyertai protes hari ini.