- Iklan -
Berita

Penggiat filem bimbang SOP penggambaran terlalu ketat

Ada yang mencadangkan pelan jangka panjang dibuat bagi sektor perfileman, menyifatkan SOP Finas itu adalah sekadar solusi jangka pendek.

Aliff Fikri
2 minit bacaan
Kongsi
Sebelum pandemik; jurukamera produksi melakukan babak penggambaran drama Puaka Bunga Tanjung Sungai Pangsun, Hulu Langat. Kini, penggiat filem terpaksa berdepan kesukaran akibat pandemik Covid-19 melanda negara.
Sebelum pandemik; jurukamera produksi melakukan babak penggambaran drama Puaka Bunga Tanjung Sungai Pangsun, Hulu Langat. Kini, penggiat filem terpaksa berdepan kesukaran akibat pandemik Covid-19 melanda negara.

Industri filem adalah antara sektor seni kreatif yang teruk terjejas akibat sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan di seluruh negara bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Akibat beberapa kali perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan, penggiat industri filem dalam negara yang dianggap sebagai industri tidak perlu terpaksa berdepan kesukaran ekoran dilarang beroperasi dan menjalankan penggambaran.

Kerugian akibat pandemik yang ditanggung sektor itu juga tinggi, menurut Timbalan Pengerusi Finas Norman Abdul Halim, anggaran kerugian dialami industri hiburan melebihi RM100 juta. Bahkan industri pawagam mengalami kerugian sekitar RM2 juta sehari.

MalaysiaNow sempat menemubual beberapa penggiat filem yang kini sukar menjalankan penggambaran sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

Kru Lumatic Films, Hafiz Chin, 34 berkata beliau kini dalam mod bertahan hidup bagi menyara dua orang anak dan isteri.

“Bukanlah tidak ada kerja langsung, ada juga kerja suntingan untuk satu telemovie yang sempat kami ‘shoot’ sebelum darurat (lockdown) tempoh hari,” katanya ketika dihubungi.

Ditanya apakah beliau gembira dengan keputusan kerajaan baru-baru ini yang membenarkan penggambaran dilakukan pada Fasa Dua.

Hafiz menyatakan, keputusan tersebut sedikit sebanyak melegakan, namun, selepas menyemak prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKMM itu, beliau berkata semua SOP itu sangat menyusahkan.

“SOP yang dikeluarkan kementerian nampaknya terlalu ketat, seolah-olah macam tak bagi kami buat penggambaran pula” katanya yang menetap di Cyberjaya.

Hafiz Chin (berdiri dua dari kiri) bersama kru Lumatic Films yang diketuai Nik Amir (berdiri dua dari kanan).

Berdasarkan SOP dikeluarkan kementerian komunikasi dan multimedia pada 22 Julai lalu, penggiat filem tidak dibenarkan melakukan penggambaran di kawasan yang dikategorikan terlarang seperti di perumahan, penempatan dan perindustrian.

Termasuk tenaga produksi yang minimum, deklarasi kesihatan dengan dua dos vaksin, penggambaran hanya boleh dibuat di lokasi Fasa Dua sahaja.

Lumatic Films adalah syarikat produksi bawah kelolaan pengarah muda Nik Amir Mustapha. Sebelum ini, Nik pernah mengarahkan filem seperti KIL dan Terbaik Dari Langit.

Sementara itu, pengarah dan pelakon Megat Shahrizal pula berterima kasih dengan kebenaran yang ditetapkan Finas namun dakwanya ia tidak akan menyelesaikan masalah.

“Tetapi kita harus sedar bahawa SOP ini adalah penyelesaian jangka pendek untuk memastikan kelangsungan hidup pekerja produksi, pelakon dan kru,” kata pengarah Syawal Mencari Cinta.

“Penyelesaian jangka panjang harus menjadi langkah seterusnya. Cadangan pertama saya adalah semua stesen (televisyen) menyemak semula kadar bayaran mereka.”

Bagi pengarah telemovie Kampung People, Wan Hasliza Wan Zainuddin pula SOP sepatutnya diumumkan bulan lalu lagi, bukannya sekarang.

“Saya rasa sedih. SOP ini sepatutnya dilaksanakan pada 1 Jun lalu dan bukannya sekarang apabila kes jangkitan harian sangat teruk. Jadi apa gunanya kuarantin selama dua bulan?.”

Selain SOP yang diumumkan melalui Finas, KKMM juga sedang giat menggesa agar suntikan vaksin kepada para pekerja industri kreatif dipercepatkan.

Menterinya, Saifuddin Abdullah berkata beliau yakin proses vaksinasi kepada pekerja industri dapat diberikan secepat mungkin agar mereka dapat bekerja semula.