Terletak di Jalan Rotan, Kampung Attap, di tengah bandar raya Kuala Lumpur, bangunan empat tingkat bercat serba putih Zhongshan Building merupakan salah satu hab seni dan budaya yang terdapat di ibu kota.
Di dalamnya terdapat ramai anak muda kreatif dan yang menjadi pengusaha kepada pelbagai medium kesenian termasuk ilmu pengetahuan iaitu buku terpakai.
Antara yang terdapat di sana adalah Tandang Store, Bogus Merchandise, Balai Buku Raya, Tommy Le Baker, Malaysia Design Archive, Kok Far Tea, Tintabudi dan Rumah Attap Library.
Berdasarkan sejarah, bangunan ini sebenarnya milik Selangor Zhongshan Association yang mendapat bantuan geran Think City untuk dibaik pulih semula dan kini menghimpunkan ramai anak muda kreatif, pemuzik alternatif, pusat kajian, perpustakaan, kedai buku, pusat percetakan baju, kedai muzik, kafe dan galeri seni.
Dibina sekitar 50-an, bangunan memperoleh nafas baru atau dijjenamakan semula pada November 2014.
Mereka mendapat geran dari Think City, yang merupakan anak syarikat kepada Khazanah Nasional Berhad.
Think City menyediakan geran RM10 juta dengan setiap pemohon boleh menerima geran antara RM10,000 hingga RM200,000 berdasarkan idea atau program komuniti yang diketengahkan.
Fokus mereka adalah mengekalkan bangunan bersejarah dalam sesebuah bandar dan dipulihara bagi menjadikannya ikon baru.
Di era wabak pandemik Covid-19 yang angkanya sehingga sekarang masih tinggi, pengusaha Zhongshan Building juga turut terjejas.
MalaysiaNow sempat bertemu beberapa pengusaha di sana untuk bertanyakan apakah cabaran yang mereka hadapi sepanjang penularan Covid-19, salah seorang daripadanya Nor Azlen, 45.
Azlen, pemilik Balai Buku Raya berkata pendapatannya kini cukup terjejas ekoran kedai buku yang dimiliki tidak dikunjungi orang.
“Kalau diikutkan sejak bermulanya perintah kawalan pergerakan (PKP) perniagaan sudah agak perlahan, cuma cukup-cukup untuk hidup sahaja,” katanya.
“Walapun saya cuba menjual buku secara dalam talian, namun sambutannya tidak seberapa.”
Sebelum penularan wabak, Azlen memberitahu dia akan berdagang di Amcorp Mall pada hari minggu, namun sumber kewangan kini terjejas gara-gara tidak boleh bergerak untuk berniaga kecuali di kedai.
Azlen menambah, lebih-lebih lagi buku bukanlah barangan harian seperti makanan, malah masih ramai orang tidak mengetahui kewujudan kedainya.
Selain Balai Buku Raya, terdapat sebuah lagi kedai yang memiliki koleksi senarai yang tidak kurang hebat iaitu Tinta Budi.
Balai Buku Raya menawarkan buku-buku terpakai atau baru, khususnya buku sastera berbahasa Melayu dalam bentuk penulisan yang beragam.
Selain itu mereka turut memiliki buku berbahasa Inggeris sama ada sastera atau berkaitan Malaysia yang sesuai dengan citarasa pencinta buku.
Sementara itu, pemilik kedai cetakan baju dan skrin Bogus Merchandise, Syahnan Anuar, 29, pula berpandangan setakat ini sambutan masih ada cuma tidak semeriah sebelum Covid-19.
Namun lelaki asal Machang, Kelantan itu menyatakan, setakat ini kewangannya masih stabil dan mampu membayar gaji pekerja seramai tiga orang.
“Cuma yang saya harapkan adalah pandemik ini segera berakhir, supaya semua orang dapat bekerja seperti biasa dan dapat meneruskan hidup.”
Bogus sebelum ini pernah diundang untuk membuat bengkel atau kelas percetakan baju antaranya dengan kafe Feeka yang beroperasi di Changkat Bukit Bintang, butik Ralph Lauren, penyanyi Zee Avi, kumpulan folk Indonesia Silampukau, Dapur Jalanan, Alena Murang, Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (Cendana) dan pelbagai lagi.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.