- Iklan -
Berita

CITF pertimbang PPV khas untuk warga asing dalam negara

Ia bagi membolehkan sumber diperlukan seperti penterjemah atau sukarelawan dapat ditempatkan di situ sekali gus mengatasi kesesakan di PPV.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Warga asing dan golongan kurang berkemampuan mendapatkan khidmat ujian saringan Covid-19 dari klinikal Laurent Bleu USCI di Taman Connaught, Cheras.
Warga asing dan golongan kurang berkemampuan mendapatkan khidmat ujian saringan Covid-19 dari klinikal Laurent Bleu USCI di Taman Connaught, Cheras.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang mempertimbangkan keperluan untuk mengkhususkan beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk warga asing mengikut bahasa agar proses vaksinasi dapat dilakukan dengan lancar.

CITF dalam kenyataan memaklumkan ia bagi membolehkan sumber-sumber diperlukan seperti penterjemah atau sukarelawan, dapat ditempatkan di situ sekali gus mengatasi masalah kesesakan di PPV yang berpunca daripada kehadiran dalam bilangan yang ramai kumpulan itu, menyebabkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

“Kegagalan pekerja asing dalam mengisi borang dan memuat turun aplikasi MySejahtera menyebabkan proses tersebut mengambil masa yang lama.

“Setiap pekerja asing memerlukan lebih lima minit untuk mengisi borang dan menyebabkan kesesakan di kaunter pendaftaran. Terdapat jurubahasa yang membantu, tetapi proses tersebut masih memakan masa,” menurut kenyataan itu sebagai mengulas kesesakan yang berlaku di kebanyakan PPV di Lembah Klang semalam.

Kenyataan itu memaklumkan, kesesakan semalam juga terjadi apabila sebilangan besar daripada penerima vaksin hadir tidak mengikut waktu janji temu yang diberikan dengan datang pada waktu pagi sedangkan waktu janji temu adalah di sebelah petang.

Bagi mengelakkan masalah sama berulang, badan bertindak itu turut bekerjasama dengan pihak polis untuk menyekat perjalanan sebarang kenderaan seperti bas dari luar Lembah Klang yang membawa sama ada pekerja asing atau rakyat Malaysia secara beramai-ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin di Lembah Klang.

Pada masa sama CITF juga telah meminda tarikh janji temu bagi sesetengah penerima vaksin untuk mengurangkan jumlah kehadiran agar kesesakan daripada masalah komunikasi melibatkan warga asing itu dapat dielakkan.

“Hasil daripada tindakan CITF ini, kesesakan di PPV yang terlibat terutamanya di waktu petang, dapat dikurangkan hari ini dan perkara berkenaan akan terus dipantau bagi membolehkan tindakan bersesuaian diambil dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.