- Iklan -
Berita

Masih banyak pusat jagaan warga emas, OKU di Petaling Jaya tak respons panggilan vaksinasi

Dari 1,000 rumah jagaan warga emas dan OKU di daerah itu, hanya 200 yang beri maklum balas untuk vaksinasi.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas Klinik Kesihatan Petaling melakukan vaksinasi kepada warga emas dari Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Kenangan Budi Kuala Lumpur di Petaling Jaya.
Petugas Klinik Kesihatan Petaling melakukan vaksinasi kepada warga emas dari Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Kenangan Budi Kuala Lumpur di Petaling Jaya.

Pusat jagaan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di daerah Petaling Jaya diseru untuk memberi maklum balas kepada pejabat kesihatan daerah untuk membolehkan pemberian vaksin dijalankan untuk penghuni pusat-pusat tersebut.

Pegawai Perubatan dari pejabat kesihatan Petaling Jaya, Dr. Yaacub Ibrahim berkata hanya 200 daripada 1,000 rumah jagaan yang memberi respons kepada usaha vaksinasi khas untuk premis-premis tersebut sejak dimulakan pada Jun lalu.

“Kita menghantar kakitangan ke rumah warga emas kerana mereka tidak boleh ke pusat vaksinasi akibat kekangan-kekangan tertentu.

“Meskipun begitu, masih banyak rumah jagaan orang tua dan OKU yang tidak membalas panggilan kami,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow.

Katanya, kekangan dari segi komunikasi antara faktor utama tiada maklum balas dari pusat-pusat jagaan.

“Kita telefon namun pihak pengurusan tidak menjawab panggilan.

“Semua pihak perlu daftar untuk program vaksin. Bagi mereka yang boleh jalan, daftarlah di MySejahtera dan bagi mereka yang tidak boleh berjalan, hubungi pejabat kesihatan terdekat. Kita akan sediakan kakitangan untuk ke rumah,” katanya.

Seorang warga emas dari Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Kenangan Budi Kuala Lumpur di Petaling Jaya menerima vaksin Pfitzer Bio-NTech. dari petugas kesihatan.

Setakat ini, beberapa pasukan telah melawat ke 151 rumah di Petaling Jaya, dan sudah menjalankan 4,000 dos suntikan vaksin.

Walaupun kurang maklum balas diterima dari rumah jagaan, para penghunginya merasa bersyukur selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.

Seorang warga emas yang menggunakan kerusi roda, Zainuddin Mirza Said, 92 berkata dia bersyukur kerana boleh menerima kedua-dua dos di rumah jagaan dan tidak perlu ke pusat pemberian vaksin.

“Saya tidak rasa apa-apa simptom, semua baik sahaja. Nasihat saya, semua orang Malaysia mesti ambik vaksin dan hentikan wabak ini,” katanya ketika ditemui di rumah jagaan Heritage Senior Care Centre di Petaling Jaya.

Sementara itu, salah seorang penjaga di rumah jagaan warga emas Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Kenang Budi Kuala Lumpur, Wong Keng Sheng melahirkan rasa lega kerana kesemua 15 penghuni di rumah jagaan itu telah menerima dua dos vaksin.

“Kita mempunyai warga emas yang berisiko dari segi kesihatan seperti kencing manis dan darah tinggi. Antara mereka ada yang dibuang keluarga atau tinggal bersendirian.

“Selepas program ini dibuka, kita terus mohon untuk rumah ini. Tak sampai dua minggu kita sudah dapat dos pertama,” katanya.

Semasa membentangkan penerangan berkaitan program vaksinasi negara di Dewan Rakyat semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata program imunisasi terbesar negara itu setakat ini menyaksikan peratusan penduduk Malaysia yang menerima vaksin bagi sekurang-kurangnya satu dos mengatasi beberapa negara maju seperti Jepun, Australia, Korea Selatan dan New Zealand.

Sambil menerangkan kronologi program dengan peruntukan RM5.8 bilion itu, Khairy berkata pada awalnya sasaran 80% penduduk menerima vaksin dijangka diselesaikan pada Februari tahun hadapan, namun tempoh masa itu disingkatkan kepada Disember 2021 setelah mengambil kira perkembangan semasa jangkitan.

“Garis masa ini disingkatkan lagi untuk kita selesaikan menjelang Oktober ini,” katanya yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.