- Iklan -
Berita

Sidang khas Parlimen ditangguhkan 2 minggu, kata KP Kesihatan

Penilaian risiko jangkitan Covid-19 di Parlimen juga akan dinilai dari semasa ke semasa dan semua individu yang berada di Parlimen pada 26 hingga 29 Julai 2021 untuk memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Sidang khas Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan akibat penularan Covid-19.
Sidang khas Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan akibat penularan Covid-19.

Kementerian kesihatan mencadangkan supaya sidang khas Dewan Rakyat ditangguhkan selama dua minggu bagi mencegah penularan penyakit Covid-19 dari di Parlimen, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kementerian kesihatan mencadangkan agar semua sesi mesyuarat termasuk mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen serta pembentangan yang dirancang di Parlimen atau yang melibatkan individu yang berada di Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021 ditangguhkan sementara waktu untuk tempoh dua minggu bermula dari 29 Julai 2021,” katanya Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini Pakatan Harapan (PH) memberi amaran kepada Noor Hisham, mempersoalkan arahan beliau supaya premis Parlimen dikuarantin ekoran tercetus kes Covid-19 di kawasan itu sehingga menyebabkan sesi sidang khas Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan.

“Kami juga memberi amaran keras kepada Muhyiddin Yassin agar tidak memperalat agensi dan kementerian-kementerian, termasuk ketua pengarah kesihatan, untuk menutup Parlimen pada Isnin ini,” kata Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam sebuah kenyataan hari ini.

“Ketua pengarah kesihatan juga diingatkan agar tidak membenarkan diri beliau diperalat demi menutup Parlimen dan menghalang sidang khas seperti yang dititah Yang di-Pertuan Agong.”

Menurut Noor Hisham, penilaian risiko kejadian jangkitan Covid-19 di Parlimen juga akan dinilai dari semasa ke semasa dan memohon semua individu yang berada di Parlimen pada 26 hingga 29 Julai 2021 untuk memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Sekiranya mengalami gejala, sila jalani pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran dengan tempat tinggal masing-masing,” katanya.

“Kerjasama semua yang terlibat dipohon agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan demi memastikan penularan jangkitan dapat diputuskan. Kesihatan dan keselamatan semua menjadi tanggungjawab kita bersama.”

Pada 28 Julai lalu, sebanyak 56 kes positif dikesan setakat hasil ujian saringan yang dijalankan antara 21 hingga 25 Julai bagi sesi Mesyuarat Khas Parlimen.

Noor Hisham berkata, daripada jumlah tersebut, dua kes melibatkan ahli Parlimen, pegawai pengiring (enam), manakala 48 kes lagi melibatkan pegawai dari pelbagai agensi kerajaan.