Putrajaya hari ini bersetuju untuk membentangkan usul untuk membatalkan ordinan darurat, membenarkan ahli-ahli Parlimen untuk membahaskannya, selari dengan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata ia akan dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri esok dan diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan ordinan-ordinan darurat “secara harmoni dan berperlembagaan”.
Katanya, usul tersebut akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang akan diadakan pada September depan.
Muhyiddin berkata, langkah untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat melalui nasihat Kabinet kepada Agong pada 23 Julai lalu tidak dapat disempurnakan.
Pada Januari, Agong bersetuju untuk mengisytiharkan darurat virus Covid-19 yang menyebabkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ditangguhkan.
Proklamasi Darurat itu berakhir pada 1 Ogos lalu.
“Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos 2021, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit,” tambah Muhyiddin.