- Iklan -
Berita

Apa yang berlaku sekarang? Bekas hakim kanan jelaskan perkembangan politik terkini

Gopal Sri Ram menjelaskan beberapa isu mengenai apa yang berlaku jika perdana menteri hilang majoriti dan apa yang berlaku jika beliau meletakkan jawatan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada 21 Oktober 2020. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada 21 Oktober 2020. Gambar: Bernama

Melalui sidang media semalam, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat sekurang-kurangnya 11 ahli Parlimen daripada parti itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin.

Bekas hakim mahkamah persekutuan Gopal Sri Ram, yang berkhidmat dan pernah memberikan lebih 800 penghakiman yang dianggap sebagai autoriti perundangan terkemuka di mahkamah Komanwel, menjawab beberapa pertanyaan yang sering diajukan masyarakat mengenai aspek Perlembagaan dan undang-undang susulan perkembangan terbaru ini.

1. Apakah pengumuman Zahid ini bermaksud kerajaan Muhyiddin Yassin kehilangan majoriti?

Pengumuman penarikan sokongan di luar Dewan Rakyat tidak sah, ia tidak mempunyai kesan dalam undang-undang Perlembagaan.

Tempat yang tepat untuk menguji keyakinan terhadap seorang perdana menteri adalah di Dewan Rakyat. Ada kemungkinan beberapa ahli Parlimen pembangkang menyokong kerajaan.

2. Zahid berkata akuan bersumpah (SD) ahli Parlimen yang menarik balik sokongan mereka terhadap perdana menteri akan diserahkan ke istana.

Mereka boleh hantar semua SD ke istana, tiada masalah. Yang penting adalah apa yang berlaku di Dewan Rakyat.

SD tidak bernilai kerana ia bukan undi dewan. Kehilangan kepercayaan bermaksud kehilangan kepercayaan di Dewan Rakyat. Sebelum ada apa-apa usul pengundian tidak percaya berlaku di Dewan Rakyat, kerajaan akan terus berkuasa.

Kerajaan tidak jatuh berdasarkan SD yang dihantar ke istana.

3. Bagaimanakah undian hilang kepercayaan di Dewan Rakyat dilakukan?

Satu ketetapan mesti diluluskan untuk memberi laluan pengundian tidak percaya dibuat di Dewan Rakyat. Bagaimana jika ahli Parlimen yang menarik sokongan berubah pikiran?

Mungkin ada ahli Parlimen pembangkang yang mungkin tidak mahu pilihan raya umum diadakan ketika ini, dan kerana itu, mungkin akan menyokong kerajaan dan mengalahkan usul kepercayaan.

Kaedah yang biasa untuk menguji kepercayaan adalah dengan menggerakkan usul untuk mengurangkan gaji perdana menteri sebanyak RM1. Sekiranya usul itu diluluskan maka kerajaan akan jatuh kerana anggaran belanjawan (termasuk gaji PM) sudah gagal.

4. Bagaimana perdana menteri membuktikan atau menunjukkan beliau masih mempunyai majoriti?

Beliau boleh tunjukkan di Dewan Rakyat, seperti pengundian bagi Belanjawan 2021 dilakukan tahun lalu. Kerajaan berjaya, itulah kali terakhir ujian kepercayaan terhadap perdana menteri dilakukan.

Hanya sepanjang sesi Parlimen sahaja majoriti perdana menteri boleh dibuktikan. Cara-cara selain itu hanya menunjukkan kejahilan seseorang mengenai prosedur undang-undang.

5. Adakah Muhyiddin terikat untuk meletakkan jawatan? Apa yang berlaku sekiranya dia tidak berbuat demikian?

Berdasarkan undang-undang, beliau perlu teruskan pentadbiran, dan beliau perlu mengabaikan sebarang langkah-langkah politik terhadapnya.

Sekiranya usul tidak percaya diluluskan, PM boleh minta Agong untuk bubarkan Parlimen.

Namun Agong mempunyai budi bicara. Sekiranya beliau enggan bubarkan Parlimen, maka PM dan seluruh Kabinetnya perlu mengundurkan diri.

Maka selepas itu, terpulang kepada Agong untuk pilih orang yang pada pendapatnya memiliki majoriti di Dewan Rakyat dan melantiknya sebagai perdana menteri yang kemudian akan membentuk Kabinet.

6. Tetapi seorang menteri telah letak jawatan?

Sekiranya satu atau dua menteri mengundurkan diri, beliau boleh melantik menteri lain, atau meminta menteri lain untuk ambil alih portfolio itu.

7. Bolehkah Muhyiddin dihadapkan ke mahkamah jika dia enggan mengundurkan diri?

Tidak, dia tidak boleh dihadapkan ke mahkamah, kerana masih belum ada bukti beliau hilang sokongan. Sekali lagi, ia hanya dapat diuji di Dewan Rakyat.

8. Sekiranya Muhyiddin mengundurkan diri, apakah langkah selanjutnya?

Sekiranya perdana menteri meletak jawatan, keseluruhan Kabinet jatuh.

Sekiranya Muhyiddin ingin mengundurkan diri daripada pentadbiran, beliau harus mengadap Agong dan berikan alasannya. Agong mungkin tidak menerima peletakan jawatannya.

Ini berlaku ketika Dr Mahathir Mohamad mengundurkan diri tahun lalu.

9. Bolehkah Agong melantik perdana menteri dan Kabinet interim?

Tiada istilah perdana menteri dalam Perlembagaan Persekutuan. Terdapat peruntukan untuk caretaker government atau kerajaan sementara, akan tetapi hanya apabila Dewan Rakyat dibubarkan. Perlembagaan kita tidak mengiktiraf PM interim hanya kerajaan sementara.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.