Seperti anggota tentera yang lain, pegawai perubatan tentera Dr Ahmad Fairuz Ishak dan Dr Devandran Naidu berlatih bersungguh-sungguh bagi memastikan mereka akan sentiasa bersiap siaga dalam apa-apa pertempuran sekiranya dipanggil untuk mempertahankan negara daripada pasukan musuh.
Tahun ini, panggilan semboyan itu datang.
Sejak dua bulan lalu, mereka menjadi barisan hadapan dalam beberapa pertempuran melawan musuh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar yang menyerang seluruh negara sejak tahun lalu.
Sebagai sebahagian daripada Combat Medic Vaccination Team (CMVT) Angkatan Tentera Malaysia, mereka melakukan perjalanan ke kawasan terpencil di luar bandar Sarawak untuk memastikan tidak ada seorang pun yang tertinggal daripada mendapat vaksin Covid-19 di negeri ini.
CMVT terdiri dari empat pasukan outreach yang terdiri ditubuhkan dari empat pegawai perubatan dan 16 anggota batalion perubatan daripada Briged Kesembilan Infantri .
Perjalanan memasuki jalan-jalan kecil jauh terpencil di pedalaman Sarawak menjadikan penduduk-penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar dan tidak mempunyai kemudahan perubatan tidak lagi perlu melakukan perjalanan sukar menuju ke bandar terdekat bagi mendapatkan suntikan vaksin.
Bagi penduduk pedalaman, perjalanan untuk ke bandar adalah beban besar kerana ia memakan kos bagi pengangkutan, makanan dan tempat tinggal.
Namun bagi Fairuz dan Devandran, tugas mereka bermaksud perjalanan di atas jalan raya yang memakan tempoh beberapa jam dan melelahkan – atau, berdepan kekurangan yang ada di kawasan luar bandar.
Fairuz, yang berpangkat kapten berkata bahawa akses terhad ke kawasan terpencil di negeri ini adalah salah satu halangan dalam usaha mendekati lebih ramai penduduk kampung yang sangat memerlukan vaksin Covid-19.
Selain saiz negeri yang luas, wujud juga cabaran geografi lain perlu mereka tangani, mulai dari kawasan paya di sekitar pantai hingga dataran sungai sehinggalah banjaran gunung-ganang dan hutan tebal.
Pasukan perubatan tentera menghabiskan sebahagian besar waktu mereka dalam kenderaan pacuan empat roda dan bot-bot laju, terutama ketika perlu menjalankan operasi vaksinasi di kampung-kampung yang hanya dapat diakses dengan laluan sungai.
Sekiranya perlu menjalankan operasi vaksinasi lebih dari satu hari di sesebuah kampung, pasukan itu harus mendirikan kem dan berkhemah di sana sepanjang operasi.
Selain itu, terdapat juga cabaran untuk membawa vaksin di seluruh Sarawak.
“Kebanyakan komuniti berada di kawasan di sepanjang sungai,” kata Fairuz kepada MalaysiaNow.
“Bentuk pengangkutan utama mereka adalah melalui jalan air.”
Dia memberikan contoh Long Singut di Kapit, sebuah penempatan berhampiran perbatasan Sarawak-Kalimantan.
“Untuk sampai ke sana, anda harus berada di jalan raya menempuh perjalanan lapan jam dan kemudian berdepan perjalanan empat jam lagi dengan menaiki bot.
“Biasanya kami melakukan operasi dengan bot, tetapi ada beberapa operasi kami gunakan helikopter,” katanya.
Tidak berhenti di situ, wujud juga masalah komunikasi dengan penduduk kampung.
Di Sarawak, kebanyakan kawasan terpencil adalah tempat tinggal orang Iban, Kenyah, Kayan, Punan, Penan, Kajang, Lun Bawang dan Kelabit, yang semuanya bertutur dalam bahasa mereka sendiri.
Tidak ramai yang fasih berbahasa Melayu atau Sarawak, terutamanya golongan tua.
Sebagai orang luar, hal ini juga menjadi cabaran kepada pasukan, banyak perkara boleh disalah fahami penduduk.
Fairuz dan Devendran bersetuju penyampaian maklumat mengenai vaksin kepada penduduk kawasan luar bandar adalah cabaran utama yang mereka hadapi.
Davendran, yang merupakan seorang leftenan berkata pasukan CVMT menghabiskan masa berhari-hari untuk mencari penterjemah bagi membantu berkomunikasi dengan penduduk kampung dan meyakinkan mereka untuk menerima vaksin.
Bercakap kepada MalaysiaNow, dia berkata cabaran sedemikian pernah mereka hadapi dalam operasi ke Long Unai, kawasan tempat tinggal orang Islam Penan.
“Kami terpaksa minta petugas daerah datang ke kampung untuk memberitahu mengapa mereka memerlukan suntikan itu.”
Pasukan mereka tidak dapat meyakinkan penduduk kampung untuk menggulung lengan baju, terutama yang sudah tua.
“Hanya 30 orang yang ingin diberi vaksin pada masa itu,” kata Davendran.
“Tetapi setelah pegawai daerah datang dan memberi taklimat kepada mereka, 151 orang akhirnya dapat menerima vaksin.”
Selain itu, terdapat juga masalah akses internet.
Di kebanyakan kampung, tidak ada liputan internet menyebabkan penduduk kampung tidak dapat mendaftar vaksin melalui aplikasi MySejahtera.
Maka, pendaftaran mesti dilakukan secara manual dengan pen dan kertas.
Sementara itu, penduduk tanpa kewarganegaraan menghadapi komplikasi lain ketika mendaftar vaksinasi.
Di Sarawak, orang-orang tanpa warganegara dibenarkan menerima suntikan vaksin dengan syarat status mereka disahkan oleh pemimpin masyarakat.
Bagaimanapun kekurangan dokumentasi menunjukkan butiran penting bagi golongan ini tidak dapat diketahui.
“Ramai orang tanpa warganegara ini tidak tahu tarikh lahir mereka,” kata Fairuz.
Fairuz turut menceritakan satu kejadian di mana dia menyuntik vaksin kepada seorang lelaki yang tidak miliki kewarganegaraan.
“Ketika saya bertanya kepadanya tentang tarikh lahir, dia berkata tidak tahu bila dia dilahirkan. Tetapi kerana dia ada tatu yang mempunyai nombor kelihatan seperti tarikh, saya gunakan sahaja.
“Orang perlu faham ramai orang tanpa kewarganegaraan tidak berpendidikan tinggi,” tambahnya.
“Mereka tidak dapat membaca atau menulis kerana tidak bersekolah. Mereka tidak mempunyai peluang atau hak istimewa untuk pergi ke sekolah kerana mereka tidak ada kad pengenalan seperti kita.”
Bagaimanapun Fairuz bertekad untuk terus melakukan yang terbaik dengan sedikit maklumat yang dia dapat kumpulkan.
“Tidak ada gunanya jika kita tidak jalankan vaksinasi mereka, terutama mereka yang tidak ada keistimewaan.
“Bagaimana kita boleh dapat capai imuniti kelompok jika ada orang yang ingin divaksinasi tetapi tidak dapat suntikan hanya kerana status warganya?”
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.