- Iklan -
Berita

Pencuri boleh simpan duit, kata Dr M berhubung RM114 juta dipulangkan pada Najib

Dr Mahathir menyuarakan kerisauan beliau jika pencuri dana boleh menyimpan duit yang mereka curi selepas ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau risau keputusan untuk memulangkan semula lebih RM100 juta yang disita daripada bekas perdana menteri Najib Razak akan menjadi berita baik kepada mereka yang didakwa mencuri dana.

“Pada masa akan datang, jika anda curi duit dan anda boleh buktikan duit itu bukan daripada sesiapa, maka ia adalah milik anda, dan seseorang itu sudah memberikan kepada anda bilion dolar, maka jika mahkamah kata tidak ada bukti anda mecuri, jadi anda boleh simpan duit itu.

“Jadi saya fikir pada masa akan datang, pencuri boleh dapat kelebihan itu. Jika mereka tak boleh buktikan yang anda sudah mencuri, maka duit itu adalah duit anda,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau hari ini diminta mengulas laporan sejumlah RM114 juta yang dipulangkan semula kepada Najib pada Jun lalu selepas Mahkamah Tinggu Kuala Lumpur menolak permohonan kerajaan untuk pelucuhakan wang tersebut yang didakwa disalahgunakan dari dana 1MDB.

Mahkamah memutuskan pendakwaan gagal untuk membuktikan wang tersebut diperolehi daripada aktiviti-aktiviti haram atau diambil dari 1MDB.

Najib mendakwa wang tunai yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa minggu selepas beliau jatuh daripada pentadbiran kerajaan adalah milik Umno yang beliau simpan.

Terdahulu, MalaysiaNow melaporkan wang tersebut masih belum dapat dipastikan sama ada ia sudah dipulangkan semula kepada Umno atau belum.

Dalam serbuan susulan tumbangnya pentadbiran Barisan Nasional pada pilihan raya umum 2018, pihak berkuasa menyita beberapa barangan mewah termasuk barang kemas, jam tangan dan beg berjenama yang bernilai ratusan juta ringgit dipercayai berkait dengan skandal 1MDB.

Pada Julai 2018, Mahkamah Tinggi menyabitkan kesalahan dan memutuskan hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta bagi tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana 1MDB dan SRC International.

Dalam pada itu, Mahathir turut diminta mengulas mengenai persoalan yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Damansara dari DAP Tony Pua mengenai apakah pembangkang perlu bertoleransi dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi menyekat “kleptokrat” Umno daripada kembali berkuasa.

“Ianya terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong dan ahli-ahli Parlimen.

“Jika mereka berikan sokongan majoriti kepada Umno, maka Umno akan menjadi kerajaan. Namun jika tak ada yang dapat majoriti, ia terpulang kepada Agong, atau jika tidak ia akan diputuskan dengan pilihan raya, tetapi pilihan raya tidak boleh diadakan,” katanya.

Semalam, Pua berkata kembalinya Umno menduduki kerusi perdana menteri akan menyebabkan parti itu menggunakan kuasa politiknya untuk “kembali menjadi lebih kua” selepas pilihan raya umum akan datang.

“Dan jika mana-mana pemimpin Umno menjadi PM, bukankah semua kleptokrat akan dilepaskan (atau mungkin mendapat kuasanya kembali)?” soal Pua di samping menambah kemungkinan pembangkang boleh mengambil jalan alternatif dengan bertoleransi dengan kerajaan PN “untuk beberapa waktu lagi” bagi menyekat Umno kembali berkuasa semula.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.