Anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan pekerja perkhidmatan sokongan kontrak di sekolah di bawah kementerian pendidikan (KPM) adalah antara golongan yang boleh mendapatkan vaksin secara “walk” in di pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara, hasil kerjasama dengan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).
Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata sehubungan itu para guru, AKP dan pekerja sokongan yang belum mendapat temujanji dos pertama vaksin digesa untuk mendapatkan suntikan masing-masing.
“Perincian mengenai pemberian vaksin secara walk-in bagi kumpulan khas sekolah di bawah KPM, termasuk keperluan dokumen sokongan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
“Usaha untuk memastikan mereka yang berada dalam ekosistem pendidikan di sekolah menerima vaksin akan terus dipergiatkan melalui Pasukan Petugas Khas KPM-CITF,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sehingga hari ini seramai 352,649 orang guru (85.41%), 52,256 orang AKP (77.69%) dan 54,930 orang pekerja perkhidmatan sokongan termasuk operator bas dan van sekolah (46.64%) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
“Bagi guru kelas peperiksaan pula, seramai 84,995 orang (94.89%) telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin,” katanya.
KPM terdahulu memaklumkan sesi persekolahan untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka ditetapkan mulai 1 September ini secara berperingkat.
CITF dalam satu kenyataan memaklumkan inisiatif walk-in yang dimulakan di Lembah Klang dipergiatkan ke seluruh negara untuk kumpulan tertentu.
Empat kumpulan lain ialah warga emas, orang kurang upaya, individu dengan komorbid berusia 18 tahun ke atas, dan individu yang terlepas suntikan dos kedua.
Bagaimanapun inisiatif suntikan vaksin itu bergantung kepada bekalan vaksin di PPV.
Individu yang tidak mendapat suntikan vaksin pada hari walk-in akan disenarai sebagai keutamaan untuk menerima vaksinasi keesokannya.