- Iklan -
Berita

Polemik Ivermectin hanya selesai melalui kajian klinikal, kata pakar

Pakar mengatakan antara risiko pengambilan Ivermectin tanpa pantauan profesional ialah alahan, sawan, koma dan bahkan boleh membawa maut.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Ivermectin merupakan sejenis ubat anti parasit yang digunakan bagi rawatan beberapa penyakit tropika. Gambar: AFP
Ivermectin merupakan sejenis ubat anti parasit yang digunakan bagi rawatan beberapa penyakit tropika. Gambar: AFP

Apakah benar ubat Ivermectin sangat berkesan dalam merawat Covid-19, malah mampu menyelamatkan nyawa pesakit kategori 5 yang sedang nazak hingga digelar “ubat ajaib?”

Berpegang pada dakwaan itu serta beberapa kajian berskala kecil di luar negara, pihak pro-Ivermectin di negara ini termasuk beberapa wakil rakyat pembangkang mendesak agar ubat tersebut diluluskan penggunaannya di Malaysia.

Polemik ubat yang sebenarnya untuk rawatan cacing dan kudis buta itu semakin hangat apabila seorang pengamal perubatan, dalam temu bual yang disiarkan oleh sebuah stesen televisyen tempatan baru-baru ini, bersetuju penggunaan ubat tersebut dalam rawatan Covid-19 kerana dikatakan dapat mengurangkan risiko kematian.

Bagaimanapun, sebilangan besar pengamal perubatan di negara ini kurang bersetuju kerana kemujaraban ubat antiparasit itu dalam rawatan Covid-19 secara khusus belum dibuktikan dari segi klinikal, malah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga memaklumkan tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar untuk kegunaan manusia.

Bagaimanapun percanggahan pendapat pakar perubatan jelas tidak menghalang segelintir ahli masyarakat yang bertindak membeli Ivermectin daripada pasaran gelap sedangkan ada risiko menanti mereka yang mengambil ubat itu tanpa nasihat doktor.

“Selalu saya jumpa komplikasi Ivermectin. Sudah pasrah.

“Pesakit sudah baik Covid pun nak ambil Ivermectin, sekarang fungsi hati bermasalah. Kuning -jaundice.” Demikian luah Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi Hospital Putrajaya Dr Rafidah Abdullah dalam hantaran Twitter beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Amrahi Buang berkata polemik Ivermectin mungkin boleh dilerai menerusi laporan Cochrane Review yang diterbitkan pada 28 Julai 2021 lepas.

Beliau berkata kajian perubatan berstandard emas itu merumuskan bahawa ubat Ivermectin tidak berkesan dalam mencegah dan merawat penyakit Covid-19.

“Ubat ini tidak menggantikan vaksin. Walaupun ada negara yang menggunakan Ivermectin untuk manusia, tidak semestinya ia berkesan.

“Negara India, Indonesia contohnya, telah menarik semula penggunaan Ivermectin dalam merawat Covid-19,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Jelas bekas Ketua Pegawai Farmasi Pusat Perubatan Universiti Malaya itu, kajian berskala besar dan menyeluruh diperlukan sebelum dapat dirumuskan Ivermectin selamat dan berkesan dalam merawat Covid-19.

Beberapa kajian di luar negara sebelum ini hanya melibatkan saiz sampel yang kecil dan mereka menggunakan Ivermectin hanya untuk kajian rawatan tambahan, jelasnya.

“Penemuan positif daripada beberapa kes kajian dan kajian klinikal terdahulu berkaitan penggunaan Ivermectin dalam pengurusan Covid-19 menyebabkan penggunaan ubat ini secara ‘off-label’ (ubat di luar indikasi tertera dalam label dan belum atau di luar persetujuan badan atau lembaga bertanggungjawab) terus menjadi perhatian.

“Bagaimanapun, penggunaannya sebagai ubat khusus bagi merawat Covid-19 masih perlu disokong dengan pembuktian yang lebih kukuh,” katanya.

Oleh itu, langkah proaktif Kementerian Kesihatan (KKM) dengan memulakan kajian klinikal Ivermectin Treatment Efficacy In Covid-19 High Risk Patients (I-TECH Study) perlu disokong semua pihak.

Kajian KKM yang telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan (MREC) pada 25 Mei lalu, penting untuk menilai keberkesanan Ivermectin dalam mencegah jangkitan Covid-19 kategori 1, 2 dan 3 daripada menjadi lebih teruk dan merosot kepada kategori 4 dan 5, katanya.

“Selain itu, kajian ini akan melihat kebarangkalian pengurangan risiko kematian pesakit Covid-19 dengan melibatkan 500 subjek daripada kumpulan berisiko tinggi.

“Mereka ini terdiri daripada pesakit berusia 50 tahun ke atas yang dimasukkan ke hospital dengan gejala Covid-19 kategori 2 dan 3 yang dijangka selesai pada September nanti,” katanya.

Ivermectin, ubat cacing parasit ini digunakan secara meluas untuk jangkitan tropikal seperti Onchocerciasis, Strongyloidiasis dan Helminthiases yang memerlukan pemantauan profesional bagi pengambilannya.

Antara risiko pengambilan ubat ini ialah mendapat pening, alahan dan sawan. Namun ada kes lebih serius seperti koma, malah boleh juga membawa maut.

Kebimbangan pengambilan Ivermectin tanpa rujukan pegawai perubatan turut diluahkan oleh seorang pembantu perubatan yang hanya mahu dikenali sebagai Yas.

Wanita itu yang bertugas di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya, berkata ada pesakit Covid-19 membeli ubat berkenaan daripada vendor dalam talian tanpa merujuk kepada doktor.

“Saya sendiri pernah mengendalikan seorang pesakit yang mengalami hemoptisis (pendarahan saluran pernafasan menyebabkan batuk berdarah) dan hematuria (kencing berdarah) kesan pengambilan ubat tersebut.

“Pengambilan ubat yang belum lagi mendapat kelulusan adalah sangat berisiko dan ini akan menyukarkan lagi rawatan Covid-19 ke atas seseorang pesakit,” katanya yang tidak bersetuju ubat antiparasit itu digunakan bagi merawat Covid-19 selagi belum dibuktikan secara klinikal.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.