Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari berkata pihaknya memandang serius berhubung dakwaan penawaran rasuah yang diterima beberapa orang ahli Parlimen DAP, menjamin siasatan akan dijalankan.
SPRM berkata pihaknya sudah menemui tiga ahli Parlimen DAP berhubung dakwaan rasuah berbentuk wang dan jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) tersebut.
“Sehingga kini, SPRM sudah menemui tiga ahli Parlimen DAP berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tohmahan tersebut.
“Setakat ini, SPRM tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej menerusi aplikasi WhasApp tersebut,” kata SPRM dalam kenyataan hari. ini.
Terdahulu, Polis Perak mengesahkan menerima laporan yang dibuat setiausaha sulit Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran pada Sabtu lalu.
Kulasegaran mendakwa beliau dihubungi seorang individu tidak dikenali yang menawarkan ganjaran sekiranya memberi sokongan kepada kerajaan PN.
Bekas menteri sumber manusia itu berkata, tawaran tersebut dibuat menerusi telefon setiausahanya, Jeremy Chuah pada Jumaat.
Katanya, antara tawaran tersebut adalah ganjaran wang berjumlah RM30 juta, kedudukan sebagai menteri serta pelbagai insentif lain.