- Iklan -
Berita

Sultan Johor beri amaran bubar DUN jika wakil rakyat terus bertelagah

Sultan Ibrahim menasihatkan supaya ahli-ahli politik tidak pentingkan diri dan utamakan usaha membantu rakyat Johor.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berucap ketika merasmikan sidang DUN Johor hari ini. Gambar: Facebook Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berucap ketika merasmikan sidang DUN Johor hari ini. Gambar: Facebook Sultan Ibrahim

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkata baginda tidak akan teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor jika wakil rakyat terus bertelagah dan mementingkan diri sendiri sehingga kerajaan negeri sekarang tumbang.

“Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukannya kepentingan rakyat.

“Apabila wabak Covid-19 telah terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih ahli dewan yang baru, selepas ini pilihlah betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk rakyat,” kata Sultan Ibrahim dalam ucapan merasmikan pembukaan DUN Johor hari ini.

Sultan Ibrahim berkata demikian ketika majlis perasmian Pembukaan Penggal Persidangan ke-4 Dewan Undangan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor Bahru hari ini.

Beliau turut ditemani Tunku Mahkota Tunku Ismail dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris.

Dalam ucapannya, Sultan Ibrahim turut menasihatkan semua Adun untuk menggunakan sesi persidangan kali ini bagi berbincang dan menyusun pelan tindakan membantu rakyat dan membangunkan semula ekonomi Johor.

“Ahli-ahli dewan tidak perlu berbahas atau membawa usul yang tidak berkenaan.

“Awak semua jangan pentingkan diri sendiri. Rakyat di luar sana tengah susah, ada yang kelaparan, ada yang hilang pekerjaan dan ada juga yang sedang bertarung nyawa akibat wabak Covid-19,” tambahnya.

Menurut beliau, sekarang bukan masa untuk berbalah, sebaliknya wakil-wakil rakyat harus bersatu dan bekerjasama.

“Jangan tanya kepada orang lain apa yang telah dibuat untuk bantu rakyat, tetapi lihatlah cermin muka sendiri,” katanya.

“Jangan cemarkan dewan saya ini dengan perangai yang buruk. Ini adalah dewan yang mulia bukannya dewan sangkar beruk.

“Ingat pesanan saya tuan speaker. Jalankan kerja baik-baik dan suka juga saya ingatkan, yang saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai menganggu-gugat negeri dan kerajaan saya.”

Selasa lalu, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kecewa terhadap sesetengah pemimpin politik yang mengganggu perjalanan kerajaan kerana berebut kuasa, mengatakan tindakan mereka dilakukan ketika rakyat mengalami kesusahan disebabkan pandemik Covid-19.

“Sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat, bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan,” katanya dalam satu kenyataan ketika beberapa pemimpin pembangkang menghantar akuan bersumpah (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memaksa kerajaan interim ditubuhkan.

Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama bekas perdana menteri Najib Razak mengetuai gerakan untuk menggulingkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Gerakan mereka mencapai momentum baru-baru ini selepas dua menteri Kabinet meletakkan jawatan kerana akur kepada arahan Zahid.

Kedua-dua Zahid dan Najib kini mendakwa telah berjaya mengumpul sokongan 15 ahli Parlimen dari Umno.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.