- Iklan -
Berita

Selepas PM, Sultan Johor terima mengadap TPM

Bagaimanapun tujuan pertemuan tersebut tidak dimaklumkan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri di Istana Pasir Pelangi. Gambar: Facebook Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri di Istana Pasir Pelangi. Gambar: Facebook Sultan Ibrahim

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menerima mengadap Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru selepas bertemu untuk bersantap tengah hari bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

Dalam sebuah hantaran Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Ismail tiba di Istana Pasir Pelangi kira-kira 10.45 pagi tadi dan pertemuan bersama Sultan Ibrahim berlangsung selama lebih sejam.

Bagaimanapun Facebook rasmi Sultan Johor tidak memaklumkan apakah tujuan pertemuan tersebut.

Semalam Muhyiddin dijemput untuk santapan tengah hari bersama Sultan Ibrahim di mana perdana menteri memberikan taklimat mengenai perkembangan terbaru berhubung isu-isu berkaitan negara.

Muhyiddin dan Sultan Ibrahim bertemu selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mendengar titah Sultan Johor itu dalam acara perasmian sidang.

Dalam ucapannya, Sultan Ibrahim mengingatkan semua Adun Johor untuk tidak mengganggu-gugat kerajaan sepanjang pandemik Covid-19.

“Saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai menganggu-gugat negeri dan kerajaan saya.

“Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukannya kepentingan rakyat.

“Apabila wabak Covid-19 telah terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih ahli dewan yang baru, selepas ini pilihlah betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Sebelum ini, sempena perutusan Maal Hijrah, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kecewa kepada sesetengah pemimpin politik yang mengganggu perjalanan kerajaan kerana merebutkan kuasa, mengatakan tindakan mereka dilakukan ketika rakyat mengalami kesusahan disebabkan pandemik Covid-19.

Pada ketika ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama-sama dengan bekas perdana menteri Najib Razak, sedang menggiatkan usaha untuk menggulingkan Muhyiddin.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.