- Iklan -
Berita

PSB akan pertimbang semula sokongan terhadap Anwar jika kleptokrat terlibat

Presiden PSB berkata partinya menolak untuk bekerjasama dengan sebarang kerajaan yang disokong klepokrat

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Parti Sarawak Bersatu Wong Soon Koh. Gambar: Bernama
Presiden Parti Sarawak Bersatu Wong Soon Koh. Gambar: Bernama

Parti Sarawak Bersatu (PSB) hari ini berkata ia perlu mempertimbangkan semula keputusan untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri sekiranya sokongan mereka itu turut melibatkan sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen dari Umno termasuk mereka yang menghadapi pelbagai pertuduhan rasuah.

Presiden PSB Wong Soon Koh berkata partinya berpendirian tegas dengan prinsip menolak kerjasama dengan mana-mana kerajaan yang disokong kleptokrat.

“Kita harus tunggu dan lihat dari mana dia (Anwar) dapat sokongan,” kata Wong kepada MalaysiaNow.

“Sekiranya sokongan itu datang daripada mereka yang tidak memiliki mandat rakyat, maka sekali lagi, dia akan jadi seperti Muhyiddin (Yassin) yang menawarkan segalanya kepada semua orang.

“Jika anda tidak ikut garis panduan yang kami berikan – iaitu hanya akan menyokong kerajaan yang dipilih oleh rakyat – itu bermakna kami harus fikir tentangnya dua kali.”

Terdahulu, MalaysiaNow melaporkan sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen yang merupakan sekutu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan menyokong Anwar untuk dilantik sebagai perdana menteri sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang.

Sokongan kumpulan Zahid itu tampil setelah rundingan yang diusahakan Pakatan Harapan (PH) dengan blok pembangkang yang lain dan beberapa individu gagal memujuk mereka untuk menyokong Anwar.

Wong menegaskan bahawa PSB hanya akan menyokong kerajaan yang mendapat mandat rakyat.

“Kami tidak mengiktiraf kerajaan PN kerana ia adalah kerajaan pintu belakang,” katanya.

“Dia (Muhyiddin) tidak memiliki mandat dari rakyat.

“PSB hanya akan mendukung kerajaan yang miliki mandat rakyat berdasarkan keputusan pilihan raya umum sebelum ini. Kita harus dengar suara rakyat.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.