- Iklan -
Berita

PH harap perubahan berlaku, Mat Sabu mahu ahli Parlimen keluar parti kembali

Mereka berkata langkah itu berlandaskan Perlembagaan, seru rakyat Malaysia untuk kekal bertenang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim (tengah), Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (kiri) dan Presiden Amanah Mohamad Sabu (kanan) dalam sebuah sidang media di Parlimen. Gambar: Bernama
Presiden PKR Anwar Ibrahim (tengah), Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (kiri) dan Presiden Amanah Mohamad Sabu (kanan) dalam sebuah sidang media di Parlimen. Gambar: Bernama

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) hari ini menyambut baik langkah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mengambil keputusan meletakkan jawatan hari ini, menggesa perubahan dilaksanakan oleh kerajaan baru.

Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata ia membuka ruang kepada sebuah perubahan dalam negara.

“Saya menggesa semua pihak untuk bertenang dan berdoa supaya Malaysia kembali bangkit kuat dalam menghadapi tantangan kesihatan dan ekonomi saat ini. Saya ucap terima kasih atas khidmat beliau pada negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memaklumkan parti itu menghargai tindakan Muhyiddin yang disifatkan berlandaskan Perlembagaan.

“Perdana menteri yang baru menghadapi cabaran besar dan perlu melakukan tugas yang jauh lebih baik dalam menangani tiga krisis berangkai yang dihadapi negara ketika ini, terutamanya dalam usaha menyelamatkan nyawa dan mata pencarian yang terjejas teruk akibat lonjakan jangkitan dan angka kematian Covid-19,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) perlu diberi perhatian dalam memastikan imuniti kelompok dapat dicapai.

Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu menyeru ahli Parlimen yang menang di atas tiket PH dalam pilihan raya lalu untuk kembali bersatu di bawah payung PH.

“Apa yang berlaku sebelum ini biarkan ia berlalu dan kita cipta sejarah untuk bina semula negara tercinta ini.

“Apabila mandat rakyat dalam pilihan raya yang lalu dikembalikan dan institusi parlimen dihidupkan, maka tidak ada sesiapa yang ketinggalan kerana peranan dan pandangan pembangkang akan turut diambil kira dalam menguruskan Malaysia untuk keluar daripada kemelut kesihatan akibat Covid-19 ini dan kembali membina semula ekonomi negara..”

“Dalam menghadapi situasi getir seperti ini, jiwa besar amat diperlukan kerana tidak ada yang benar-benar diharapkan oleh rakyat melainkan kesihatan dan ekonomi rakyat kembali pulih,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menerima peletakan jawatan Muhyiddin selepas ahli Parlimen Pagoh itu kehilangan kepercayaan majoriti ahli-ahli Parlimen.

15 ahli Parlimen Umno dalam kumpulan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak juga mengumumkan menarik semula sokongan mereka terhadap Muhyiddin baru-baru ini.

Awal hari ini, Agong mengumumkan Muhyiddin akan kekal sebagai perdana menteri caretaker sementara menunggu pelantikan perdana menteri baru

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung petang tadi, Muhyiddin berkata beliau tidak mahu mengorbankan prinsip dengan memberi laluan kepada kleptokrat, atau mencampuri kebebasan badan kehakiman bagi membebaskan kluster mahkamah Umno daripada pendakwaan di mahkamah.

Kluster mahkmah dikaitkan dengan sekumpulan ahli Parlimen Umno yang terpalit dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa dan kini berdepan pelbagai pertuduhan di mahkamah.

Najib disabitkan dengan tujuh kesalahan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana 1MDB pada tahun lalu sementara Zahid sedang berdepan pertuduhan melibatkan skandal Yayasan Akalbudi.

Dalam ucapan beliau juga, Muhyiddin berharap agar kerajaan baru dapat dibentuk segera bagi mengelakkan gangguan dalam pelaksanaan PICK bagi mencapai imuniti kelompok dalam negara.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.