Beberapa gesaan mulai timbul supaya Pakatan Harapan (PH) memikirkan semula sokongan terhadap Anwar Ibrahim ketika pemimpin PKR itu dalam usaha menduduki jawatan tertinggi di Putrajaya kekal tidak jelas buat kesekian kalinya selepas semua petanda menunjukkan Perikatan Nasional (PN) akan kembali menjadi kerajaan.
Seorang sumber dalaman PKR berkata ketika penyokong pembangkang mulai menunjukkan kemarahan di media sosial terhadap apa yang disifatkan sebagai perkiraan salah oleh Anwar kerana memaksa Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan, wujud perbincangan dalaman antara mereka yang rapat dengan pemimpin PH dalam usaha menggesa gabungan itu untuk “menghentikan kerjasama malang yang berjalan untuk beberapa dekad” bersama beliau.
“Perbincangan ini dipusatkan kepada kritikan yang mengatakan PH kurang serius dalam isu perbincangan yang sistemik mengenai persefahaman rentas parti yang ditawarkan Muhyiddin,” kata sumber PKR itu kepada MalaysiaNow dengan syarat namanya tidak didedahkan.
“Akhirnya, ia hanya tentang pemimpin-pemimpin utama yang tergesa-gesa untuk mengisi kekosongan kuasa tanpa mengesahkan terlebih dahulu angka (sokongan) yang diperolehinya.”
Pemimpin Umno Ismail Sabri Yaakob dilihat bakal menjadi perdana menteri pilihan majoriti ahli-ahli Parlimen selepas menerima sokongan daripada parti-parti dalam PN termasuk GPS dan Umno.
Hal ini berlaku selepas lebih sepuluh ahli Parlimen dalam kumpulan yang bersekutu dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang rapat bekerjasama dengan Anwar dalam menekan Muhyiddin meletakkan jawatannya bersetuju menyokong pencalonan Ismail sebagai perdana menteri.
MalaysiaNow difahamkan dengan sokongan penuh Umno, Ismail yang tegas berdiri di belakang Muhyiddin daripada tunduk kepada keinginan Zahid dan bekas ketuanya Najib Razak akan memiliki marjin selesa sokongan untuk dilantik sebagai perdana menteri oleh Agong.
“Berita-berita seperti ini memang sudah dijangka… kerana ke mana pun kami pergi, kami masih tidak memiliki sokongan yang cukup.
“Puncanya bukan dasar atau parti, tetapi calon perdana menteri kami,” kata sumber tersebut yang dilihat merujuk Anwar.
Anwar menjadi calon perdana menteri pembangkang bagi setiap pilihan raya selepas pemecatan beliau dari Umno pada 1998, beliau memulakan tunjuk perasaan dan berjaya menyatukan pembangkang yang sebelumnya berpecah.
Namun Pilihan Raya Umum 2018 yang menyaksikan persetujuan bersama antara pemimpin PH adalah satu peristiwa yang menjadikan beliau lebih dekat dengan jawatan utama kerajaan tersebut.
Bagaimanapun, kerajaan PH tumbang sebelum peralihan kuasa berlaku dan jawatan itu kemudiannya disandang Muhyiddin.
Walaupun begitu,Anwar berulang kali mendakwa beliau memiliki sokongan majoriti.
Pada September tahun lalu, beliau dilaporkan secara meluas mendakwa dirinya memiliki angka sokongan majoriti yang “kuat, kukuh dan meyakinkan” bagi menggulingkan Muhyiddin namun beliau gagal menunjukkan bukti sokongan itu ketika mengadap Agong.
“Sebahagian kami sedar penyokong sudah menukar nada mereka daripada penuh harapan kepada sinikal dan sekarang ini kedengaran menghina”, kata sumber tersebut.
Tinjauan sekilas di Twitter dan Facebook menunjukkan penyokong PH mengkritik keputusan pemimpin kanan gabungan itu kerana menolak tawaran Muhyiddin untuk melaksanakan pebaharuan yang diperjuangkan oleh pembangkang sebagai tukaran sokongan undi percaya di Dewan Rakyat bulan depan.
“PH sudah terlepas peluangnya untuk jadi kingmaker,” kata seorang pengguna Twitter.
“Apa kejadahnya PH gesa PM letak jawatan tanpa ada perancangan?” ulas seorang lagi pengguna.
“Itulah bodoh orang offer olive branch buat jual mahal,” kata pengguna Azroy Roy dalam sebuah ciapan Twitter.
“Macam Tony Pua kata, ketika lawan tengah terdesak, ketika itu negosasi itu lebih mudah. Tapi atas delusi pemimpin terhadap ‘seorang individu’. PH kehilangan peluang untuk melaksanakan reform yang diperlukan dan kleptokrat akan kembali dalam bentuk proksi. kini ruang reform lenyap.”
Dalam pada itu, ahli Parlimen DAP Tony Pua dan Ong Kian Ming yang memberikan respons positif terhadap tawaran Muhyiddin dan menyebabkan mereka menjadi sasaran serangan rakan Parlimen dan aktivis pro pembangkang membuat sebuah hantaran di media sosial menolak kritikan terhadap mereka.
“Mungkin ini adalah waktu untuk buat catan baru. Ada beberapa idea tajuk dalam kepada.
“‘The Unbearable Lightness of Being Stupid’. Ada yang nak beli?” kata Pua yang kemudian mendapat respons hebat di mana ramai yang memuji pendiriannya sebelum ini mengenai tawaran Muhyiddin.
Dalam pada itu, Ong pula berbalas mesej dengan Ambiga Sreenevasan, pemimpin NGO Bersih 2.0 yang turut dilihat sebagai suara utama yang menyokong pertukaran kerajaan sepanjang pandemik melanda negara.
Pagi tadi, Ong secara bercanda bertanya di Twitter mengucapkan selamat: “Pagi! Apa yang orang buat pelik hari ini kata?”
Ia kemudian dijawab Ambiga: “Asasnya, Pembangkang masih lagi tak boleh satukan kata mereka.”
Ong kemudian bertanya, “Apakah mungkin perlu satu lagi protes Twitter?”
Terdahulu, Ong mengejek gesaan Ambiga yang menggesa pengguna Twitter untuk menunjukkan ketidaksetujuan mereka dalam sebarang lantikan Ismail sebagai perdana menteri.
“Ya, saya pasti ahli-ahli Parlimen PN dan BN akan memberikan perhatian mereka terhadap apa pengguna Twitter bicarakan mengenai siapakah di antara mereka yang akan jadi PM dan TPM,” kata Ong.