- Iklan -
Berita

1MDB bayar Bloomberg untuk senaraikan salah satu dana pelaburannya, kata saksi

Bekas CEO 1MDB berkata ia dilakukan bagi menambah baik persepsi orang ramai terhadap portfolio pelaburan tersebut.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Syarikat dana negara 1MDB menjadi tajuk utama berita dunia selepas terlibat skandal kewangan terbesar melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: AFP
Syarikat dana negara 1MDB menjadi tajuk utama berita dunia selepas terlibat skandal kewangan terbesar melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: AFP

Bekas ketua pengarah operasi (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini syarikat tersebut membayar agensi berita antarabangsa Bloomberg untuk menyenaraikan salah satu dananya bagi menambah baik persepsi orang ramai terhadap portfolio pelaburan tersebut.

Hazem, 49, berkata demikian dalam pemeriksaaan balas oleh peguam bekas perdana menteri Najib Razak, Tania Scivetti dalam perbicaraan salah guna RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-10 itu bersetuju dengan cadangan peguam penyenaraian Bridge Global Absolute Return Fund (BGARF) di Bloomberg akan menambah baik isu-isu keabasahan berhubung portfolionya.

Pada 2016, 1MDB dilaporkan memilih Bridge Partners Investment Management (Cayman) Ltd untuk menguruskan AS$2.3 bilion (RM7.67 bilion) dana tunainya.

Wang tersebut dilaburkan dalam BGARF, sebuah syarikat yang didaftarkan di Pulau Cayman dengan status SPC.

Dalam keterangannya, beliau memaklumkan kepada pengerusi 1MDB persepsi Bridge Global Absolute Return Fund (BGARF) akan bertambah baik sekiranya ia disenaraikan dalam Bloomberg.

Saksi ke-10 pendakwaan itu memberi keterangan pada perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram Najib.

Menjawab soalan peguam Tania Scivetti yang mewakili Najib bahawa adalah penting untuk BGARF disenaraikan di dalam Bloomberg kerana ia adalah nama yang besar, Mohd Hazem menjawab: “Ya”.

Scivetti: Bloomberg tidak buat pengesahan mengenai maklumat yang disenaraikan oleh syarikat. Syarikat hanya perlu membayar untuk disenaraikan?

Hazem: Saya tidak tahu, saya tidak boleh menjawab untuk Bloomberg.

Terdahulu, sebaik prosiding bermula pada jam 9.30 pagi, Najib dilihat tidak hadir pada prosiding perbicaraan itu kerana dipanggil ke Istana Negara.

Mendengar perkara itu, hakim Collin Lawrence Sequerah berkata Najib seharusnya menghadirkan diri ke mahkamah terlebih dahulu.

“Yang di-Pertuan Agong memanggil semua ahli Parlimen untuk menghadap dan beliau sememangnya perlu berada di sana, namun, laporan media menyatakan ia akan dilakukan secara berperingkat.

“Anak guam anda perlu memaklumkan kepada mahkamah jam berapa beliau perlu berada di istana kerana kes ini akan diteruskan,” katanya.

Selepas sepuluh minit mahkamah ditangguhkan, Sequerah berkata, perbicaraan itu akan diteruskan dan meminta peguam untuk memaklumkan mengenai pertemuan Najib dengan Agong.

“Kita semua mempunyai tugas yang perlu dijalankan. Sekiranya dipanggil menghadap Agong, beliau harus menghadirkan diri, namun, beliau tidak perlu berada di sana seharian,” katanya.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB selain 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.