- Iklan -
Berita

Bagaimana Malaysia harus respons dengan kemunculan semula Taliban?

Ketika Taliban berusaha untuk dapatkan keabsahan pentadbiran, pakar berpendapat tidak banyak yang berubah dari sudut ideologi kontroversinya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Anggota Taliban berkawal di Kabul. Walaupun kenyataan pemimpinnya memberikan isyarat pentadbiran kali ini lebih sederhana, namun tafsiran syariahnya masih dianggap tidak berubah. Gambar: AP
Anggota Taliban berkawal di Kabul. Walaupun kenyataan pemimpinnya memberikan isyarat pentadbiran kali ini lebih sederhana, namun tafsiran syariahnya masih dianggap tidak berubah. Gambar: AP

Seorang sarjana Afghanistan yang berpangkalan di Malaysia menasihatkan Putrajaya untuk mengambil sikap optimis dan berhati-hati ketika pelbagai isyarat tersebar mengenai Taliban yang kembali berkuasa di Kabul, kira-kira 20 tahun kumpulan ultra-puritan agama itu digulingkan selepas serangan 9/11.

“Malaysia akan berminat dalam hubungan perdagangan namun perkembangan-perkembangan politik akan memakan masa. Bagaimanapun, petanda awal menunjukkan ada minat untuk mengiktiraf mereka akan memberi kesan besar kepada Taliban,” kata Hashim Kamali, yang mengetuai Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) di Kuala Lumpur, kepada MalaysiaNow.

Beliau dihubungi untuk memberikan respons terhadap pandangan yang mengatakan rejim baru yang kembali berkuasa ini adalah Taliban 2.0, selepas beberapa kenyataan pemimpin tertinggi kumpulan itu menunjukkan beberapa pentafsiran kontoversi yang menjadi sifat pemerintahan rejim itu pada 1990-an kini tidak lagi menjadi pegangan mereka.

Pada kemuncak pemerintahannya, Taliban menjalankan sekatan berat terhadap wanita termasuk melarang daripada mendapat akses pendidikan formal.

Pada 2001, beberapa bulan sebelum rejim itu digulingkan pasukan Amerika Syarikat yang mendakwa Taliban melindungi pemimpin Al-Qaeda, Osama Ben Laden, mereka mendapat kecaman antarabangsa kerana memusnahkan patung dan lokasi bersejarah agama Buddha di Bamiyan.

Patung yang didirikan pada abad ke-6 di Afghanistan Tengah itu dirobohkan dengan alasan mengekalkan monumen itu adalah satu bentuk penyembahan berhala dan tidak Islamik.

Pembentukan Taliban terhasil selepas pendudukan Soviet di Afghanistan, kumpulan itu terdiri daripada beberapa pelajar (talib) yang menjalani pendidikan di sekolah agama tradisional dan pelopor-pelopor sekolah ini pernah terlibat dalam perjuangan bersenjata selama 10 tahun menentang tentera Soviet.

Walaupun terdapat kenyataan yang menunjukkan pemimpin Taliban ketika ini mungkin lebih “lemah lembut” dan sederhana, namun tafsiran syariah mereka masih diragukan.

Kamali, yang merupakan sebahagian daripada Suruhanjaya Kajian Perlembagaan Afghanistan pada 2003 dan seorang perunding yang dilantik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pembaharuan Perlembagaan di negara itu, mengatakan walaupun dunia mungkin dapat melihat ada perbezaan dari segi pendekatan dan pentadbiran, namun ideologi asas kumpulan itu terutama mengenai Islam dan syariah masih kekal sama.

Beliau berkata beberapa kenyataan daripada pemimpin atasan kumpulan itu hanya menunjukkan ia sedang mendapatkan keabsahan antarabangsa terhadap pemerintahannya.

“Ada beberapa petanda bahawa Taliban akan melaksanakan pentadbiran awam dan bukan pentadbiran mullah,” tambahnya, sambil memetik jaminan kumpulan itu semua pegawai kerajaan akan dikekalkan selain tawaran pengampunan kepada seluruh penduduk.

Kamali berkata, walaupun keadaan normal dan kestabilan yang ditunjukkan Taliban itu mungkin disambut baik warga Afghanistan, namun masih ramai yang bimbang mengenai kekejaman yang pernah dilakukan Taliban pada masa lalu, terutama “beberapa siri pembunuhan yang dilakukan mereka dalam beberapa tahun atau bulan yang lalu”, tambahnya.

Herizal Hazri, yang mengetuai Institute of Strategic and International Studies (ISIS) turut bersetuju, mengatakan Taliban memerlukan pengiktirafan antarabangsa untuk terus berkuasa.

“Mereka juga harus menyedari bahawa mereka harus bergabung dengan ekonomi dunia jika mereka ingin memajukan negara dan mempertahankan imej bahawa mereka boleh meningkatkan taraf hidup rakyat Afghanistan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sementara itu, Kamali tidak bersetuju kebangkitan Taliban akan mempengaruhi gerakan Islam di Malaysia, walaupun wujud beberapa suara yang dilihat bersimpati dengan kumpulan tersebut.

“Taliban tidak memiliki hubungan erat dengan kumpulan Islamis di Malaysia. Malaysia cukup aman dengan kerajaan yang kuat dan akan waspada terhadap perkembangan sedemikian,” kata Kamali yang merupakan pakar perundangan Islam dan menulis hampir 50 buku.

Bagi Herizal, pandemik Covid-19 akan mengurangkan masalah yang ditimbulkan kumpulan ekstremis, namun mengatakan kemungkinan ideologi radikal akan mendapat tempat di negara ini tidak boleh diabaikan.

Katanya, Malaysia tidak harus tergesa-gesa untuk mengiktiraf pentadbiran Taliban sehingga semua rundingan yang melibatkan kumpulan itu berakhir.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.