- Iklan -
Berita

Minat terhadap ‘rumah terpakai’ meningkat di 4 negeri

Minat pembelian meningkat terhadap rumah teres kerana peralihan cara kerja jarak jauh dan minat kepada rumah yang lebih besar.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara arah Sungai Way dan Petaling Jaya Selatan yang diambil dari sebuah bangunan di Kelana Jaya.
Pemandangan dari udara arah Sungai Way dan Petaling Jaya Selatan yang diambil dari sebuah bangunan di Kelana Jaya.

Minat orang ramai terhadap hartanah sub-sale atau terpakai di empat negeri meningkat pada separuh pertama 2021, meningkat kepada 19.2% dari -2.5% pada separuh pertama tahun lalu.

Menggunakan penyenaraian data senarai dan pelawat yang unik, iProperty mendedahkan lawatan platform tersebut menunjukkan peningkatan carian dalam penyenaraian bekalan bagi rumah teres, pangsapuri, pangsapuri servis dan pangsapuri di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Jurucakap iProperty, Premendran Pathmanathan berkata peningkatan tersebut mungkin disebabkan pencari hartanah yang berpindah ke platform dalam talian dalam melakukan kajian selain aktif menyertai lawatan maya dan tindakan susulan dengan ejen hartanah.

“Pengunjung benar-benar berminat untuk membeli hartanah,” katanya sambil menambah m ini disahkan melalui rujukan terhadap jumlah keseluruhan pinjaman dari Bank Negara Malaysia (BNM).

“Trend menunjukkan wujud persamaan antara kunjungan pengguna portal dan jumlah pinjaman yang dimohon jelas menunjukkan mereka sangat berminat untuk membeli hartanah selepas fasa melakukan kajian,” katanya dalam pembentangan maya hari ini.

Beliau berkata kadar faedah yang lebih rendah dan Kempen Pemilikan Rumah yang dilanjutkan hingga bulan Disember turut menyumbang kepada pertumbuhan minat terhadap hartanah.

Menurut BNM, nilai permohonan pinjaman perumahan meningkat dari RM96.4 bilion pada separuh pertama 2020 menjadi RM179.4 bilion pada separuh pertama tahun ini.

Perumahan teres di kawasan pinggir bandar menyaksikan lonjakan permintaan berikutan peralihan cara bekerja secara jarak jauh selain peningkatan minat terhadap rumah yang lebih besar.

Malaysia melalui tiga pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak tahun lalu, memaksa jutaan pekerja bekerja dari rumah.

Menurut kajian Randstad Malaysia, 69% responden di negara ini lebih suka bekerja secara jarak jauh, sekurang-kurangnya sehingga program vaksinasi di seluruh negara berjaya mencapai matlamatnya.

“Orang ramai mencari ruang yang lebih besar, lebih jauh, dengan biaya yang lebih rendah.

“Anda dapat lihat tempat-tempat seperti Puncak Alam, Dengkil dan Semenyih turut menjadi tempat yang menarik perhatian orang ramai.

“Dari segi ruang, lokasi-lokasi ini menawarkan perkara itu,” kata Premendran, dan menambah ramai orang mencari hartanah di kawasan pinggir bandar yang memiliki hubungan terus ke pusat bandar.

Di Selangor, Puncak Alam dan Dengkil menyaksikan permintaan tinggi bagi rumah teres berharga antara RM500,000 hingga RM750,000 dengan ruang seluas 1,500 hingga 2,000 kaki persegi, sementara carian rumah teres lebih berukuran 3,000 kaki persegi meningkat di kawasan Semenyih dan Sungai Long.

Kawasan di Kuala Lumpur kekal stabil dengan pertumbuhan permintaan pasaran sekunder sebanyak 8.1% pada separuh pertama tahun ini berbanding 0.3% dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Harga permintaan hartanah di kawasan seperti Damansara Heights, Mont Kiara dan Desa Parkcity cenderung lebih tinggi.

Bagaimanapun, penjual hartanah di bahagian lain di ibu negara dilihat menurunkan harga permintaan mereka kerana penurunan kuasa pemilikan.

Penduduk tempatan juga turut berminat terhadap hartanah-hartanah pasaran sekunder di Johor ketika permintaan asing kekal rendah susulan penutupan sempadan antarabangsa.

Premendran berkata pada masa ini, harga rumah kediaman bertingkat di keempat-empat negeri menurun disebabkan jumlah unit tidak terjual yang tinggi, selain menjadi strategi untuk menarik pembeli.

“Secara amnya, harga transaksi lebih rendah daripada harga yang diminta sekitar 20%,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.