- Iklan -
Berita

Mahkamah Rayuan tangguh pendengaran kes tuntutan RM10.3 juta LHDN dari anak perempuan Najib

LHDN dalam usaha mendapatkan lebih RM10 juta tunggakan cukai dari Nooryana Najwa.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Nooryana Najwa bersama bapanya, bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Instagram
Nooryana Najwa bersama bapanya, bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Instagram

Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan pendengaran permohonan kerajaan bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu yang menolak mengeluarkan ringkasan penghakiman dalam saman terhadap anak perempuan Najib Razak berhubung tunggakan cukai sebanyak RM10 juta.

Pendengaran rayuan kes oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang pada mulanya dijadualkan hari ini kemudian ditangguh kepada 15 Disember depan, kata peguam Nooryana Najwa seperti dipetik The Edge.

Menurut laporan portal itu, tiada alasan diberikan berhubung penangguhan tersebut.

Nooryana, anak kedua Najib dari perkahwinannya dengan Rosmah Mansor, dinamakan sebagai defendan dalam saman yang difailkan LHDN pada Julai 2019 selepas beliau gagal menyerahkan borang cukai pendapatan bagi penilaian dari 2011 hingga 2017.

LHDN menuntut RM10,335,292.36 dengan kadar faedah tahunan sebanyak 5% dari tarikh penghakiman hingga tarikh realisasi, kos, dan pelepasan seperti yang dilihat munasabah oleh mahkamah.

Pada 26 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan LHDN bagi ringkasan penghakiman.

Ringkasan penghakiman adalah keputusan mahkamah tanpa pendengaran kenyataan daripada saksi.

Mahkamah turut mendapati sijil yang ditunjukkan oleh kerajaan sebagai bukti jumlah tanggungan cukai dan kebolehbayaran tidak ditandatangani oleh ketua pengarah LHDN seperti yang disyaratkan di bawah Seksyen 142 Akta Cukai Pendapatan 1967.