- Iklan -
Berita

PH terima slogan ‘Keluarga Malaysia’ dalam kenyataan jarang berlaku bersama PM

Mereka bersetuju untuk memperkasa institusi Parlimen supaya menjadi lebih telus.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu bergambar bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri baru-baru ini.
Pemimpin Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu bergambar bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri baru-baru ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam sebuah kenyataan yang jarang berlaku menandatanganinya bersama tiga pemimpin tertinggi gabungan Pakatan Harapan (PH), berikrar untuk mencari titik persamaan dalam “mengurangkan suhu politik negara” seperti yang dinasihatkan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam kenyataan yang turut ditandangani Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu, mereka berkata kesemua bersetuju bagi memperkasa fungsi Parlimen Malaysia supaya lebih telus.

“Kami juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang leih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia,” kata kenyataan itu menggunakan istilah yang digunakan Ismail dalam perutusan sulungnya sebagai perdana menteri Ahad lalu.

Kenyataan bersama itu adalah susulan pertemuan antara Ismail dan tiga pemimpin utama PH di Pejabat Perdana Menteri hari ini yang dilihat selari dan mematuhi titah nasihat istana supaya kerajaan baru yang ditubuhkan perlu bekerjasama dengan pembangkang dalam melawan pandemik Covid-19.

Dalam kenyataan yang sama, pemimpin-pemimpin politik itu berkata pertemuan tersebut tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak sekali gus membebaskan rakyat daripada masalah ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Terdahulu, ketika ditemui pemberita selepas pertemuan tersebut Anwar memberikan bayangan pembangkang tidak akan mengundi menentang Ismail dalam usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.