Gopal Sri Ram mungkin mendapat reputasi kerana memiliki rekod tertinggi permohonan untuk menggugurkannya sebagai pendakwa dalam beberapa kes rasuah berprofil tinggi melibatkan pemimpin Umno dan sekutu mereka.
Permohonan Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak untuk menyingkirkan Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam perbicaraan rasuahnya ditetapkan pada 9 September depan, ia adalah permohonan terbaru terhadap bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu.
Ini juga akan menjadi percubaan kedua Rosmah untuk menyingkirkan Sri Ram, setelah gagal dalam usaha serupa tahun lalu untuk menyingkirkan beliau sebagai pendakwa kanan dalam kes rasuah bernilai jutaan ringgit melibatkan projek tenaga hibrid solar bagi sekolah-sekolah yang terletak di pedalaman Sarawak.
Tahun lalu, peguam Rosmah Jagjit Singh mempersoalkan peranan Sri Ram dalam kes tersebut, mengatakan peguam itu sudahpun menangani kes-kes 1MDB di mana suami anak guamnya berdepan puluhan pertuduhan.
Jagjit berkata anak guamnya bimbang wujud salah guna kuasa dalam pelantikan Sri Ram.
Sementara itu, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan oleh Najib dan peguam utamanya Muhammad Shafee Abdullah pada 23 September bagi mencabar pelantikan Sri Ram dalam kes 1MDB bekas perdana menteri itu.
Shafee, yang turut berdepan pertuduhan melakukan pengubahan wang haram melibatkan RM9.5 juta juga gagal dalam usaha serupa Mac lalu bagi menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa dalam kes yang dihadapi beliau.
Shafee dituduh menerima wang dari Najib bagi menjalankan peranannya sebagai pendakwa secara fiat (kebenaran rasmi) dalam perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim pada 2014.
Pada ketika itu, Sri Ram merupakan peguam bela Anwar.
Dipercayai, sekurang-kurangnya tujuh percubaan dilakukan oleh Najib, Rosmah dan Shafee bagi menyingkirkan Sri Ram dalam kes yang dihadapi mereka.
Pelantikan Sri Ram sebagai pendakwa ad hoc kes rasuah berprofil tinggi negara itu diumumkan bekas peguam negara Tommy Thomas, memetik Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah.
Pelantikan itu turut disahkan Idrus Harun yang menggantikan Thomas sebagai peguam negara.
Sri Ram, adalah salah seorang peguam terkemuka di Malaysia, beliau berkhidmat sebagai hakim di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Dalam tempoh perkhidmatannya, beliau memberikan lebih dari 800 penghakiman yang dianggap sebagai rujukan utama atau autoriti undang-undang dan duluan-duluan di mahkamah Malaysia dan Komanwel.