- Iklan -
Berita

Keyakinan perniagaan merosot pada suku ketiga 2021

Sektor perdagangan borong dan runcit turut meramalkan prestasi perniagaan yang mencabar dalam tempoh enam bulan akan datang.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara kawasan perindustrian Lembah Jaya Ampang. Sektor industri menjangkakan keadaan perniagaan merosot dari +12.5% kepada -11.8% untuk separuh kedua 2021.
Pemandangan dari udara kawasan perindustrian Lembah Jaya Ampang. Sektor industri menjangkakan keadaan perniagaan merosot dari +12.5% kepada -11.8% untuk separuh kedua 2021.

Peniaga lebih pesimis terhadap keadaan perniagaan mereka pada suku ketiga 2021, menurut kajian terkini Jabatan Perangkaan yang dijalankan secara suku tahunan untuk mengukur jangkaan prestasi perniagaan bagi suku tahun dan enam bulan yang akan datang.

Berdasarkan Survei Kecenderungan Perniagaan bagi suku ketiga 2021, petunjuk keyakinan merosot kepada -21.3% pada suku tahun rujukan berbanding -3.1% pada suku tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin berkata semua sektor yang diliputi menjangkakan keadaan perniagaan yang kurang menggalakkan untuk suku ketiga 2021 berikutan pandemik Covid-19 yang buruk dan berpanjangan di negara ini.

“Petunjuk keyakinan bagi sektor perdagangan borong dan runcit merosot ke trajektori negatif dengan -39.4% berbanding +5.6% pada suku kedua 2021 disebabkan peniaga yang kurang keyakinan terhadap keadaan perniagaan mereka untuk tempoh tiga bulan akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sektor industri dan perkhidmatan menunjukkan lebih pesimis dengan petunjuk keyakinan masing-masing menyusut kepada -11.0% dan -22.8% pada suku ketiga berbanding -1.5% dan -6.1% yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.

Mohd Uzir berkata pada masa yang sama, sektor pembinaan juga menjangkakan keadaan perniagaan mereka merosot pada suku tahun rujukan dengan -45.0% berbanding -30.5% pada suku kedua.

“Secara keseluruhan, imbangan bersih -12.9% menunjukkan pertubuhan meramalkan pendapatan kasar mereka akan merosot, di mana 23.6% pertubuhan menjangkakan hasil kasar meningkat untuk suku ketiga, manakala 36.5% menunjukkan sebaliknya.

“Pada masa yang sama, 39.9% pertubuhan meramalkan hasil kasar mereka kekal sama. Dari segi pekerjaan, majoriti pertubuhan (76.5%) meramal untuk mengekalkan pekerja mereka untuk suku tahun rujukan,” kata Mohd Uzir.

Beliau berkata sebanyak 8.5% pertubuhan menjangkakan pengambilan pekerja yang lebih ramai, manakala 15.0% berhasrat mengurangkan tenaga kerja seterusnya mendorong kepada imbangan bersih -6.5% untuk suku ketiga 2021.

Melihat kepada sentimen bagi enam bulan ke hadapan, Mohd Uzir berkata peniaga pesimis terhadap prospek perniagaan mereka bagi Julai hingga Disember 2021 dengan imbangan bersih keseluruhan -21.7% berbanding +11.0% bagi April hingga September 2021.

Sama seperti jangkaan untuk tiga bulan akan datang, kesemua sektor menjangkakan prospek negatif dengan sektor yang merekodkan pesimis paling kecil adalah industri.

Menurut tinjauan itu, sektor industri menjangkakan keadaan perniagaan merosot dari +12.5% kepada -11.8% untuk separuh kedua 2021.

Pada masa yang sama, beliau berkata sektor perkhidmatan dan pembinaan menjangkakan keadaan perniagaan yang kurang memberangsangkan untuk enam bulan akan datang dengan imbangan bersih masing-masing -14.2% dan -24.2% berbanding +8.4% dan +6.1% dicatatkan bagi April hingga September 2021.

Mohd Uzir berkata sektor perdagangan borong dan runcit turut meramalkan prestasi perniagaan yang mencabar dalam tempoh enam bulan akan datang dengan imbangan bersih -59.7% berbanding +12.5% yang direkodkan sebelumnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.