- Iklan -
Berita

Pakar WHO akui usaha kenal pasti punca awal Covid temui jalan buntu

Saintis ingatkan peluang untuk mengetahui asal usul pandemik Covid-19 semakin tertutup.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Pasukan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia memakai pakaian pelindung lengka ketika lawatan penyelidikan ke Wuhan, China awal Februari lalu. Gambar: AP
Pasukan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia memakai pakaian pelindung lengka ketika lawatan penyelidikan ke Wuhan, China awal Februari lalu. Gambar: AP

Usaha mengenal pasti punca sebenar pandemik Covid-19 yang mengorbankan jutaan orang selain melumpuhkan ekonomi global masih menemui jalan buntu walaupun keadaan semakin genting, saintis yang ditugaskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberikan amaran pada Rabu.

Laporan awal pasukan pakar antarabangsa bebas yang dihantar ke China oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Januari menyimpulkan kemungkinan besar virus SARS-CoV-2 berpunca daripada kelawar dan berpindah ke manusia melalui haiwan perantaraan.

Hipotesis lain mengatakan virus tersebut terkeluar dari sebuah makmal, seperti makmal virologi di Wuhan, dianggap “sangat tidak mungkin” berlaku.

Namun dalam ulasan di jurnal Nature, 11 dari 17 saintis dalam misi tersebut berkata ia hanyalah “langkah pertama dalam proses yang terhenti”.

“Pencarian punca SARS-CoV-2 berada pada tahap kritikal,” tulis mereka.

“Peluang untuk melaksanakan penyelidikan penting ini menjadi semakin mengecil.”

Mengesan jejak biologi ke punca-punca awal penyakit yang dikesan kali pertama di Wuhan pada akhir 2019 menjadi lebih sukar disebabkan bukti-bukti hilang atau sudah rosak.

Kenyataan itu dikeluarkan kurang dari dua minggu setelah WHO yang kini berusaha untuk menghidupkan semula siasatan mendesak China menyerahkan maklumat mengenai kes-kes Covid-19 terawal ditemui.

Ia juga termasuk data bagi 174 kes jangkitan yang dikenal pasti pada Disember 2019 yang gagal dikongsi China semasa siasatan awal, kata pakar.

Penyelidik berkata sebelum ini “sudah dipersetujui” fasa kedua penyelidikan akan mengisi kelompongan tersebut.

Bagaimanapun China menolak permintaan WHO awal bulan ini, mengatakan penyelidikan pada Januari lalu sudah mencukupi dan permintaan data lanjut hanya bermotif politik, dan bukannya bersifat saintifik.

Pada Rabu, WHO menekankan laporan pakar antarabangsa yang diterbitkan pada Mac dengan kerjasama rakan-rakan mereka dari China menetapkan sejumlah kajian harus dilakukan, menegaskan tiada alasan untuk menangguhkannya lagi.

“Kami galakkan semua pihak terus lanjutkan kajian tersebut,” kata Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada pemberita di ibu pejabat PBB di Geneva.

Pada sidang media itu, pakar WHO menekankan tidak perlu menunggu misi antarabangsa lain ke China sebelum meneliti banyak kajian lanjutan yang diperlukan dari sana, mengatakan terdapat ramai saintis China mampu melaksanakan kajian tersebut.

“Tiada sekatan sekarang ini untuk jalankan kajian-kajian tersebut, dan rakan-rakan di China tidak memerlukan WHO untuk melakukan proses kajian sedemikian,” kata Pengarah Kecemasan WHO Michael Ryan.

“Sebenarnya, ramai rakan kami di China melaporkan bahawa kajian-kajian tersebut sedang dijalankan, dan kami sangat berharap dapat menerima data dan laporan.”

Beijing menolak teori yang mengatakan punca virus Covid-19 bermula dari sebuah pusat virologi di Wuhan.

Pada Selasa, agensi perisikan Amerika Syarikat membentangkan kepada Presiden Joe Biden dengan laporan kedua-dua hipotesis berpunca dari haiwan dan “kebocoran makmal”.

Penemuan tersebut digambarkan sebagai tidak konklusif.

Ulasan dalam jurnal Nature mengatakan data yang ada pada ketika ini tidak menyokong hipotesis kebocoran makmal.