- Iklan -
Berita

Pemimpin Amanah pertahan Anwar selepas gagal tubuh kerajaan

Muhammad Taqiuddin Cheman berkata presiden PKR itu tidak seharusnya dipersalahkan.

Aliff Fikri
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

Pemangku Ketua Pemuda Amanah Muhammad Taqiuddin Cheman mempertahankan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim yang gagal memperoleh sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan, ketika pertembungan partinya dengan PKR berlaku secara terbuka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulai Sebatang itu berkata, presiden PKR itu tidak seharusnya dipersalahkan walaupun gagal mendapatkan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk menggembalikan PH sebagai kerajaan.

“Kenyataan beberapa pimpiman Amanah yang mencadangkan supaya tempat Anwar selaku pengerusi PH ditukar dan posisinya sebagai ketua pembangkang digantikan mungkin dibuat atas kapasiti peribadi,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Tetapi kenyataan sedemikian amat tidak bertanggungjawab, mereka menggunakan jawatan dalam parti untuk menyerang Anwar kerana kononnya gagal memperoleh majoriti.”

Timbul perdebatan mengenai keberkesanan Anwar sebagai pengerusi PH disebabkan kegagalannya mengatasi Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang disokong 114 ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai perdana menteri walaupun presiden PKR itu sebelum ini mendakwa mempunyai “sokongan kukuh dan meyakinkan” untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Minggu lalu, Ketua Amanah Bukit Bintang Ahmad Asri Talib didapati berperang mulut di media sosial dengan aktivis PKR Sarawak Iswardy Morni berhubung kepimpinan Anwar.

Asri mencadangkan supaya PH Plus diwujudkan sambil mendesak Anwar disingkirkan sebagai pengerusi.

Asri berkata, ramai lagi calon boleh diketengahkan seperti Dr Mahathir Mohamad, Shafie Apdal atau mereka yang dipersetujui PH Plus.

Membidas kenyataan tersebut, Iswardy mendakwa Amanah tidak sedar diri sedangkan parti itu sendiri sudah hampir lumpuh di Sarawak.

Malah beliau menegaskan, rundingan lebih sepuluh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Amanah pada Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang mungkin hanya tinggal dua sahaja.

Pertelagahan antara kedua-dua parti itu merebak hingga ke Pulau Pinang.

Ini berlaku apabila Ketua Pemuda Amanah Tanjong Faruk Abdul Rahman menyokong kenyatan Asri.

Kenyataan Faruk itu menyebabkan beberapa pemimpin Pemuda PKR Pulau Pinang berang.

“Beliau seolah-olah lupa bagaimana PH yang mendapat mandat rakyat diruntuhkan melalui pengkianatan dan sikap penting diri perdana menteri ketika itu yang meletakkan jawatan tanpa berbincang dengan ketua-ketua parti dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan,” kata kenyataan yang ditandatangani oleh ketua pemuda PKR, Balik Pulau, Tasek Gelugor, Bukit Mertajam dan pengerusi biro pendidikan pusat.

Umno lebih ikhlas?

Taqiuddin turut menyambut baik kerjasama antara perdana menteri bersama PH yang disifatkan sebagai pendekatan yang baik.

“Terutama dalam usaha membendung Covid-19, mencapai imuniti kelompok dan memulihkan ekonomi.

“Dan paling penting buat masa sekarang ketepikan perbezaan politik, tumpu pada berganding bahu selesaikan wabak yang banyak membawa masalah kepada kehidupan rakyat.”

Taqiuddin berkata, tawaran dilakukan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dilakukan ketika kerajaannya hampir tumbang.

“Ismail membuat tawaran ketika baru dilantik menjadi PM,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut.

Ismail dan PH semalam mencapai persetujuan bersama untuk memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

Menurutnya, inisiatif pertemuan itu adalah sebagai menzahirkan nasihat Yang di-Pertuan Agong, yang mahu meredakan suhu politik negara.