- Iklan -
Berita

Pengguna media sosial kecam pelantikan semula Noraini sebagai menteri

Ramai warga maya meluahkan isi hati yang bercampur baur terhadap Noraini di media sosial susulan lantikan semula beliau sebagai menteri.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad. Gambar: Facebook
Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad. Gambar: Facebook

Majoriti pengguna media sosial hari ini mengecam pelantikan semula Noraini Ahmad  sebagai menteri pengajian tinggi walaupun meletakkan jawatan pada awal Ogos sebagai usaha untuk memaksa bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

Ia susulan ciapan ahli Parlimen Parit Sulong itu di Twitter yang mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikannya sekali lagi ke jawatan tersebut.

“Haish, portfolio lama yang sama, hasilnya nanti tentu sama,” tulis Bryan Foo di Twitter.

Sebaik sahaja Ismail mengumumkan barisan Kabinetnya, Noraini tadi memuat naik status berterima kasih kepada perdana menteri.

Beliau turut berikrar akan menjalankan tugas sebaiknya berpandukan pendekatan keluarga Malaysia.

Malahan terdapat pengguna media sosial yang menggesa ketua Wanita Umno itu meletakkan jawatan.

“Amanah dulu awak rasa dah pikul sehabis baik?” ciap pemilik akaun Twitter Kakak Mongka.

“Letak jawatan saja YB,” kata pengguna media Twitter Lennon.

Termasuk ada beberapa warga maya mendesak beliau segera mengurangkan kos yuran pengajian serta mempercepat pemberian vaksin kepada pelajar dan petugas institut pengajian tinggi (IPT).

“Tolonglah usahakan yuran kami untuk dikurangkan, kakitangan IPT, siswa dan siswi divaksin sebelum membenarkan pembelajaran bersemuka dibuat untuk semester depan.

“Saya risau dengan tahap kesihatan mental para pelajar dan pensyarah,” kata pengguna media sosial Shfarin.

Pada 6 Ogos, Noraini melepaskan jawatan tersebut serta merta kerana kononnya akur keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 3 Ogos sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.

Noraini sebelum ini pernah dikritik hebat kerana menganjurkan pertandingan TikTok.

Ini termasuk memuat naik video TikTok selama 45 saat  yang menampilkan dirinya tahun lalu.