- Iklan -
Berita

Persatuan majikan harap keadaan tambah baik dengan pengumuman Kabinet baru

MEF sambut baik keputusan kerajaan kekal menteri kewangan dan menteri sumber manusia.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Suasana di pasar raya kelihatan masih lengang, orang ramai masih berhati-hati walaupun kerajaan telah melonggarkan beberapa SOP kesihatan kepada penerima vaksin lengkap.
Suasana di pasar raya kelihatan masih lengang, orang ramai masih berhati-hati walaupun kerajaan telah melonggarkan beberapa SOP kesihatan kepada penerima vaksin lengkap.

Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyambut baik pengumuman barisan Kabinet oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, terutama keputusan untuk mengekalkan mereka yang mengetuai portfolio kewangan dan sumber manusia.

Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman berkata penting bagi perdana menteri untuk memiliki “pasukan kerja yang bagus” untuk membantu beliau menyelesaikan isu-isu berbangkit.

“Situasi ekonomi, Covid-19 dan belanjawan negara yang akan datang adalah antara hal yang penting untuk kita, dan kita tidak seharusnya mengambil risiko untuk buat perubahan besar kerana akan mengganggu perancangan yang telah pun ditetapkan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dan Menteri Sumber Manusia M Saravanan merupakan menteri yang dikekalkan dalam Kabinet baru yang diumumkan Ismail semalam.

Syed Hussain berkata menteri-menteri dan timbalan mereka perlu meneruskan kesinambungan dan konsisten dalam usaha memulihkan ekonomi dan menyelesaikan krisis Covid-19 .

“Majikan-majikan perniagaan berdepan dengan pelbagai isu Covid-19 ketika ekonomi dan perniagaan bergelut sementara belanjawan baru sedang disusun kerajaan,” katanya.

“Komuniti perniagaan dan rakyat sudah penat dan stres. Kami harap akan ada kestabilan politik supaya mereka yang memegang jawatan menteri boleh tumpu pada isu-isu yang penting.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.