- Iklan -
Berita

Amanah selar pemimpin DAP berhubung CSA dengan Ismail Sabri

Tindakan Pua itu dilihat ssecara jelas tidak menghormati Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Damansara Tony Pua. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Damansara Tony Pua. Gambar: Bernama

Pemuda Amanah mengkritik Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua yang secara terbuka membuat kenyataan menerima perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sekiranya ia mirip kepada apa yang ditawarkan Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Pemangku Ketua Pemuda Amanah Muhammad Taqiuddin Cheman berkata tindakan Pua itu juga jelas tidak menghormati Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Tindakan Tony Pua yang secara terbuka membuat kenyataan berkenaan perjanjian CSA dengan perdana menteri adalah tindakan yang tergesa-gesa dan membelakangi Majlis Presiden sebagai badan tertinggi dalam membuat keputusan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Pemuda Amanah ingin mengingatkan agar semua pihak mengikut disiplin sebagai anggota dalam PH dan tidak menimbulkan perkara yang belum benar-benar menjadi keputusan PH.”

Ahli Dewan Undangan Negeri Pulai Sebatang itu berkata, apapun alasan atau hujah yang akan diberikan Pua, sebarang proses dan strategi membuat keputusan mesti berlandaskan kepimpinan parti.

“Kami menggesa supaya pertimbangan dan penelitian yang mendalam perlu dibuat serta melibatkan pimpinan di semua peringkat agar ia tidak disalah tafsir dan menimbulkan keraguan di kalangan penyokong.”

Dalam sebuah forum dalam talian baru-baru ini, Pua mendedahkan rundingan berkenaan CSA sedang berlangsung antara pembangkang dengan Ismail.

Malah beliau menyatakan, PH sedia menerima CSA dari Ismail jika tawaran itu sama seperti dilakukan Muhyiddin sebelum ini.

“Bercakap sama ada akan menyokong atau tidak, kami mahu apa yang Muhyiddin tawarkan kepada rakyat Malaysia sebelum ini.

“Kami mahu ia turut ditawarkan kepada kami dan rakyat Malaysia ketika ini,” katanya.

Sebelum meletakkan jawatan, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti kepada pembangkang dengan tawaran yang bakal menyaksikan reformasi institusi berlaku di Malaysia seperti jawatan perdana menteri dihadkan kepada dua penggal dan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen.

Bagaimanapun tawaran tersebut ditolak “mentah-mentah” oleh PH tanpa sebarang perundingan dengan kerajaan.

Pua sebelum ini merupakan antara pemimpin DAP yang menyokong tawaran CSA oleh Muhyiddin.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.