- Iklan -
Berita

Kelayakan atlet dibatalkan ikut peraturan, tapi masih ada ruang untuk rayuan, kata pakar

Walaupun hukuman disifatkan sebagai terlalu berat, pengadil berhak membuat keputusan tersebut.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Jurugambar membidik aksi Muhammad Ziyad Zolkfli selepas saingan dalam acara lontar peluru F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Jepun. Gambar: AP
Jurugambar membidik aksi Muhammad Ziyad Zolkfli selepas saingan dalam acara lontar peluru F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Jepun. Gambar: AP

Malaysia masih boleh kemukakan rayuan walaupun World Para Athletics (WPA) menolak rayuan sebelum ini berhubung keputusan acara lontar peluru F20 yang menyaksikan atlet negara Muhammad Ziyad Zolkefli dibatalkan pingat emas dimenanginya disebabkan kesilapan teknikal.

Pengamal undang-undang sukan, Nik Erman Nik Roseli menjelaskan, namun ia mungkin akan mengambil masa yang lama.

“Ia tidak dapat diketahui sama ada hari ini atau esok,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Keputusan akan bergantung kepada alasan yang dikemukakan. Yang penting adalah alasan diberi tidak menunjukkan kesalahan atlet itu sendiri.”

Ziyad yang memecahkan rekod dunia dua kali dan boleh memenangi emas dalam acara tersebut diklasifikasikan sebagai “Did Not Start” (DNS) atau tidak memulakan aksi berikutan protes yang dikemukakan terhadapnya.

Erman berkata Ziyad dibenarkan bertanding dalam acara lontar peluru dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada Selasa kerana pengadil masih belum membuat keputusan sama ada untuk membatalkan penyertaannya atau tidak.

Katanya, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Olahraga Para Dunia, Ziyad dibenarkan bertanding secara bersyarat.

“Dalam situasi seperti ini, pengadil diberi dua pilihan, sama ada tidak membenarkan atlet bertanding atau bertanding secara bersyarat kerana masih belum membuat keputusan,” katanya.

“Sebab itu ia dibatalkan selepas acara tamat. Kenyataan rasmi menyatakan Ziyad dibenarkan bertanding secara bersyarat.

“Maksudnya, ketika dia sedang bertanding, Zyiad memang tahu keputusan masih belum dibuat lagi.”

Erman berkata, walaupun ia disifatkan sebagai hukuman berat, jawatankuasa itu berhak membuat keputusan tersebut selepas ia diperuntukkan dalam undang-undang temasya Sukan Paralimpik.

“Walaupun pandangan peribadi saya tidak setuju dengan keputusan itu, tetapi peraturan yang diperuntukkan sememangnya jelas bahawa pengadil boleh membuat keputusan tersebut (membatalkan kemenangan Ziyad).

“Sama ada ia (hukuman) berat atau tidak, mungkin tidak relevan sebab sudah ditulis dalam peraturan. Justeru, berdasarkan kenyataan yang diberikan, tindakan itu tidak melampau.

“Ya, ini menunjukkan jawatankuasa mengikut ‘by the book’. Jika kata tak boleh lewat, maka tidak boleh datang lewat,” katanya.

Kejayaan Ziyad meraih pingat emas serta memecahkan rekod dunia dalam acara lontar peluru F20 Sukan Paralimpik dibatalkan ekoran protes dilakukan kem Ukraine.

Selain Ziyad, protes itu turut dikemukan terhadap altet dari Australia, Todd Hodgetts dan Ecuador, Jordi Patricio kerana lewat memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Susulan itu, pingat emas menjadi milik Maksym Koval dengan catatan 17.34 meter, menjadikan ia rekod dunia, semantara pingat perat dirangkul Oleksandr Yarovyi dengan catatan balingan 17.30 meter.

Pingat gangsa dimiliki atlet dari Greece, Efstratios Nikolaidis yang dengan catatan 15.93 meter.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.