Kerajaan Britain berkata ia akan memperuntukkan sejumlah AS$41 juta untuk membantu negara-negara jiran Afghanistan mengendalikan pelarian dari negara itu selepas Taliban menguasai Kabul.
Britain berkata £10 juta (kira-kira AS$13.8 juta) akan segera disalurkan kepada agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan kemanusiaan lain bagi membantu kemudahan perlindungan dan sanitasi di kawasan sempadan.
Baki peruntukan tersebut akan disalurkan ke negara-negara yang menerima pelarian bagi membantu penyediaan perkhidmatan dan bekalan, katanya.
“Penting untuk kami membantu mereka yang melarikan diri dari Afghanistan bagi mengelakkan krisis yang terjadi mengganggu kestabilan wilayah itu,” kata Menteri Luar Negeri Britain Dominic Raab.
PBB berkata setengah juta rakyat Afghanistan dijangka akan meninggalkan rumah mereka hingga akhir tahun ini.
Kebanyakan pelarian dipercayai memilih Pakistan sebagai destinasi mereka selain Tajikistan yang mengumumkan ia akan menerima 100,000 pelarian.
Britain juga berkata ia akan menerima 20,000 pelarian Afghanistan dengan 5,000 dijangka tiba ke negara itu tahun ini.
Awal bulan ini, Britain mengumumkan ia akan menggandakan bantuan kemanusiaan dan pembangunan kepada Afghanistan sebanyak £286 juta tahun ini.
Ketika lawatannya ke Qatara pada Khamis, Raab berkata wujud keperluan untuk mengadakan perbincangan dengan Taliban ketika ini.