- Iklan -
Berita

Memikirkan semula sektor perumahan sosial pasca pandemik

Tidak boleh lagi ada dwistandard antara sektor perumahan sosial dan perumahan dalam pasaran bebas, kata pakar.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pagar kawat duri dipasang berikutan PKPD di Projek Perumahan Rakyat Kampung Limau pada Mei lalu selepas 59 penduduk disahkan positif Covid-19 di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Pagar kawat duri dipasang berikutan PKPD di Projek Perumahan Rakyat Kampung Limau pada Mei lalu selepas 59 penduduk disahkan positif Covid-19 di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia sejak tahun lepas membuka pekung dalam sektor perumahan sosial negara, apabila terdapat banyak kawasan projek perumahan rakyat (PPR) yang menjadi tapak penularan Covid-19 dengan begitu teruk.

Buktinya apabila kerajaan terpaksa mengenakan larangan yang lebih ketat terhadap beberapa lokaliti PPR di negara.

Contohnya, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di PPR Taman Harmoni, Sandakan pada November tahun lepas bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Pada Julai lepas, PKPD dikenakan di PPR Pantai Ria, Seri Semarak dan Taman Bukit Angkasa, di Kuala Lumpur.

Kawad berduri dan anggota keselamatan mengepung kawasan perumahan, manakala pergerakan keluar masuk ribuan penduduk menjadi terhad ekoran pelaksanaan PKPD.

PPR diwujudkan kerajaan sekitar 20 tahun lepas dalam usaha membasmi perumahan setinggan menerusi program setinggan sifar.

Namun, beberapa kelemahan dalam pelaksanaan program itu ditonjolkan pandemik Covid-19 yang memerlukan tindakan kerajaan.

Antara kelemahan itu ialah kepadatan yang tinggi, ruang yang sempit dan saiz rumah yang kecil dan tidak mampu menampung isi rumah yang semakin ramai.

Jenis rekaan yang terhad kepada satu jenis rekaan untuk unit-unit PPR juga tidak mengambilkira kepelbagaian saiz isi rumah yang menghuni PPR tersebut.

Fasiliti yang kurang memuaskan juga menjadi kelemahan ketara.

Contohnya, untuk satu-satu blok dalam sebuah taman PPR mempunyai beratus-ratus unit, namun hanya tiga lif yang disediakan.

Apabila pandemik muncul, tidak hairanlah kawasan PPR menjadi tempat penularan wabak dengan dahsyat apabila penghuni lebih mudah terdedah dan berkumpul dengan satu sama lain.

Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Puteri Marjan Megat Muzaffar berkata, masalah utama mengenai kualiti perumahan PPR ialah tiadanya definisi khusus tentang perumahan berkualiti di Malaysia.

“Apabila tiada definisi perumahan berkualiti, sukar untuk kita mengukur tahap perumahan di sektor sosial, sama ada ia bagus atau tidak bagus,” katanya pada satu forum maya anjuran Khazanah Research Institute (KRI) hari ini.

Namun, apa yang pasti katanya ialah standard perumahan sosial (merujuk kepada projek perumahan di bawah kelolaan kerajaan) tidak sama dengan standard rumah yang tersedia dalam pasaran bebas.

Ia bermakna penghuni PPR “terseksa” dengan situasi standard perumahan yang rendah, ancaman daripada persekitaran yang tidak elok dan kurang penyelenggaraan berjadual.

Selain itu, rumah juga tidak lagi menjadi sekadar tempat berteduh.

Dengan pelaksanaan bekerja dari rumah (WFH) dan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), keluasan 600 kaki persegi untuk isi rumah seramai tiga hingga enam orang seperti purata penduduk PPR sekarang tidak lagi relevan.

Dari sudut kesihatan mental, saiz yang kecil dikhuatiri akan menjejaskan ramai penghuni.

Perbezaan standard itu menjadikannya sukar untuk penghuni PPR menghadapi pandemik.

Bagi seorang lagi penyelidik KRI, Gregory Ho Wai Son, “layout” rumah juga penting dalam menghadapi kuarantin rumah.

“Di PPR, kedua-dua tandas diletakkan sebelah-menyebelah, manakala dalam rumah pasaran bebas, salah satu tandas itu akan berada dalam bilik utama (master bedroom).

“Ia memudahkan penghuni rumah pasaran bebas untuk kuarantin diri, berbanding penghuni rumah PPR,” katanya.

Gregory menambah, pembinaan rumah PPR tidak bergantung kepada saiz kaki persegi tertentu, namun ia harus mengambil kira budaya setempat.

“Adakah kita mempunyai ruang makan yang cukup, adakah rumah kita memberikan kebebasan yang sewajarnya?

“Ia bukan soal saiz apakah yang sesuai untuk membendung Covid, tapi apa yang kita perlukan untuk hidup dengan sejahtera,” katanya.

Justeru, Puteri Marjan berkata terdapat keperluan untuk memikirkan semula pendekatan terhadap PPR.

“Kita kena ada pelbagai jenis “gross floor area” di PPR, contohnya untuk isi rumah yang ramai, golongan yang sudah pencen dan sebagainya.

“Untuk meningkatkan kualiti PPR mudah sahaja, pastikan standard PPR sama dengan perumahan swasta,” katanya.

Rekabentuk yang diselarikan ini dapat memberikan nilai tambah kepada penghuni dari segi penyelenggaraan, keperluan kesihatan awam, gaya hidup dan akhirnya menaikkan ekuiti bangunan tersebut.