- Iklan -
Berita

Putrajaya lanjut moratorium pembaharuan lesen, cukai jalan hingga 31 Disember

Bagaimanapun, pemilik lesen kenderaan motor yang telah tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang penunggang motosikal memasang Jalur Gemilang pada motosikal sempena bulan kemerdekaan. Putrajaya melanjutkan moratorium pembaharuan lesen kenderaan sehingga 31 Disember depan.
Seorang penunggang motosikal memasang Jalur Gemilang pada motosikal sempena bulan kemerdekaan. Putrajaya melanjutkan moratorium pembaharuan lesen kenderaan sehingga 31 Disember depan.

Tempoh moratorium lanjutan pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu Malaysia (LMM) dilanjutkan hingga 31 Disember ini, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Bagaimanapun, katanya pemilik LKM atau cukai jalan yang telah tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans sah dan menunjukkan sijil perlindungan insurans bagi tujuan pemeriksaan.

Sebelum ini, tempoh pembaharuan LKM dan LMM ditetapkan hingga 30 September ini dan boleh diperbaharui melalui kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pos Malaysia Bhd, MyEG Services Sdn Bhd (MyEG) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Dengan mengambil kira maklum balas orang ramai, Wee berkata kementerian juga bersetuju untuk membuka semula kaunter JPJ dan Puspakom dengan kapasiti 100%, iaitu secara “walk in” (jumpa terus) bermula Isnin ini (6 September) bagi semua urusan berkaitan.

“Mulai 6 September juga, JPJ akan menghentikan sistem janji temu dalam talian. Pelanggan yang ingin berurusan di kaunter mesti telah mendapat vaksinasi lengkap dan menunjukkan status risiko rendah Covid-19 dalam aplikasi MySejahtera,” katanya pada sidang media berkenaan perkara itu di kementerian pengangkutan (MOT) hari ini.

Kata Wee, orang ramai juga digalakkan menggunakan perkhidmatan dalam talian menerusi portal mySIKAP JPJ atau melalui khidmat Pos Malaysia, MyEG, Puspakom untuk membuat apa-apa transaksi JPJ yang berkaitan.

“Ini bertujuan mengelakkan kesesakan di kaunter JPJ dan memberi kemudahan dan kesenangan kepada orang ramai memperbaharui LKM dan LMM,” katanya.

Dalam pada itu, MOT juga mengingatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berurusan di kaunter bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.