- Iklan -
Berita

Selain isu alam sekitar, Selangor mungkin rugi RM700 juta dalam pindah milik hutan simpan

Pemindahan pemilikan hutan simpan di Kuala Langat yang pertama kali diluluskan exco tahun lalu tidak melalui proses tender terbuka.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Hutan Simpan Kuala Langat Utara diwartakan sebagai hutan simpan pada 1927, meliputi lebih 7,000 hektar tanah, namun kini hanya 13% sahaja daripada kawasan tersebut kekal sebagai hutan simpan. Gambar: Bernama
Hutan Simpan Kuala Langat Utara diwartakan sebagai hutan simpan pada 1927, meliputi lebih 7,000 hektar tanah, namun kini hanya 13% sahaja daripada kawasan tersebut kekal sebagai hutan simpan. Gambar: Bernama

Kerajaan Selangor mungkin berdepan kerugian sekurang-kurangnya RM700 juta disebabkan tindakan memindahkan hampir 530 hektar hutan simpan kepada pemaju swasta, MalaysiaNow difahamkan.

Sumber dalaman kerajaan negeri berkata, pemindahan pemilikan hutan simpan di Kuala Langat yang pertama kali diluluskan exco tahun lalu tidak melalui proses tender terbuka.

Pada mulanya, kerajaan negeri memberikan tanah tersebut kepada syarikat milik kerajaan, tetapi menukar keputusan untuk memberikan kepada Titian Jutaria Sdn Bhd di mana salah seorang pengarahnya adalah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Idris Shah.

Syarikat itu diperbadankan pada akhir 2018 dengan modal berbayar RM100,000.

Pada Isnin, Exco Alam Sekitar Hee Loy Sian memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bahawa kerajaan negeri diketuai PKR itu menyahwartakan lebih dari 530 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bagi dimajukan syarikat swasta Gabungan Indah Sdn Bhd.

Sementara syarikat Titian Jutaria tidak lagi kedengaran.

Keputusan untuk memberikan tanah itu kepada Gabungan Indah dibuat pada 5 Mei dan disahkan dua minggu selepasnya.

Hee turut berkata tanah itu dimusnahkan api dan menyebabkan nilainya jatuh.

‘Nilai tanah itu sekurang-kurangnya RM1 bilion’

Tahun lalu, Menteri Besar Amirudin Shari memberitahu DUN Selangor negeri itu akan menerima sejumlah RM320 juta bayaran premium daripada pemaju untuk hak-hak terhadap tanah tersebut.

Sumber yang mahir dalam sektor hartanah berkata walaupun kebimbangan timbul mengenai kehilangan satu lagi hutan simpan, persoalan lain turut timbul mengenai berapakah jumlah kerugian kerajaan negeri dalam urusniaga tersebut.

Katanya, nilai tanah itu dianggarkan “sekurang-kurangnya RM1 bilion”, sekitar lebih RM700 juta daripada bayaran premium yang diterima.

“Di sebelah kawasan itu, Gamuda sedang majukan sebuah bandar,” kata sumber itu merujuk kepada bandar Gamuda Cove yang dimajukan Gamuda Land, meliputi hampir 1,500 ekar tanah dan dijangka siap secara berfasa pada 2038.

“Projek tersebut dijangka akan memberikan keuntungan sebanyak RM20 bilion,” kata sumber itu.

Sumber itu menambah jumlah anggaran nilai tanah itu belum mengambil kira “kayu balak yang banyak” selain nilai hutan itu yang “tidak dapat ditukar ganti” dalam memastikan keseimbangan ekologi.

Gamuda Cove yang terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), adalah projek pembangunan besar, dibahagikan kepada beberapa daerah termasuk kawasan tempat tinggal dan beberapa kawasan komersial, riadah, ilmu pengetahuan termasuk seni dan pelancongan.

Disebabkan kecaman daripada orang ramai, Amirudin berjanji untuk menangguhkan keputusan tersebut.

HSKLU diwartakan sebagai hutan simpan pada 1927, meliputi lebih 7,000 hektar tanah, namun kini hanya 13% sahaja daripada kawasan tersebut kekal sebagai hutan simpan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.