- Iklan -
Berita

Ambil vaksin atau tidak masih jadi persoalan ramai, kata pakar

Namun pakar berkata wujud perbezaan antara antivaksin dan mereka yang skeptikal dengan vaksin.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan memasukkan vaksin Sinovac ke dalam picagari untuk vaksinasi kepada penerima.
Petugas kesihatan memasukkan vaksin Sinovac ke dalam picagari untuk vaksinasi kepada penerima.

Hampir dua tahun negara berperang dengan Covid-19, masih ramai yang ragu-ragu untuk tampil mendapatkan vaksin di mana pakar berkata kecenderungan itu akan mengganggu usaha Malaysia mencapai imuniti kelompok daripada virus yang setakat ini telah mengorbankan lebih 17,000 nyawa.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata ketakutan ini ditambahkan lagi dengan dakyah-dakyah tidak benar yang disebarkan golongan antivaksin.

“Masalah utama ialah berdepan dengan golongan yang takut kerana mereka sering membuat tuduhan palsu terhadap vaksin. Lebih bahaya apabila mereka menggunakan fakta separa betul kerana ia mudah membuatkan orang ramai percaya,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Golongan yang ragu-ragu tidak begitu mendatangkan masalah serius kerana mereka hanya menolak vaksin kerana kurang faham mengenai keberkesannya. Jika diterangkan dan diberi pendedahan lanjut, golongan ini kebiasaannya akan bersetuju terima vaksin.”

Mengikut sasaran Putrajaya, imuniti kelompok akan tercapai selepas 80% rakyat menerima suntikan dos lengkap vaksin.

Usaha meningkatkan kesedaran orang ramai supaya mengambil vaksin terus dipergiatkan oleh kementerian kesihatan menerusi pelbagai platform sama ada media arus perdana mahupun media sosial.

Menurut data kementerian kesihatan, sehingga 2 September lalu, 47.2% rakyat Malaysia menerima suntikan dos lengkap, sekali gus menunjukkan negara kini sudah separuh jalan untuk mencapai sasaran itu.

Namun begitu, gerakan antivaksin yang dilihat aktif menyebarkan fahaman mereka terutama di media sosial dianggap sebagai satu ancaman serius kerana hasutan tersebut boleh menyebabkan ramai terutama ahli keluarga menolak vaksin sekali gus menggagalkan usaha ke arah mencapai imuniti kelompok.

Mengulas lanjut, Sharifa berkata, fakta separa betul adalah seperti kesan sampingan vaksin terhadap jantung yang boleh menyebabkan penerima meninggal dunia.

“Memang vaksin boleh sebabkan kesan sampingan terhadap jantung, tetapi ia tidak menyebabkan ramai orang mati. Nisbahnya mungkin satu dalam 1,000,” katanya.

Bagi menangani golongan antivaksin yang terus menentang vaksin, Sharifa berkata, kementerian kesihatan disaran menggunakan pendekatan khas supaya dapat memujuk mereka.

“Contohnya, menguar-uarkan pentingnya peranan vaksin dengan penyampaian yang lebih kreatif seperti mengupah ‘influencer’ media sosial.

“Selain itu, pendekatan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berjumpa dengan guru-guru yang menolak vaksin di Johor juga wajar dicontohi. Jumpa secara baik, dengar ulasan mereka dan kemudian terangkan mengenai vaksin,” katanya.

Beliau berkata, kementerian kesihatan mungkin boleh pertimbangkan untuk mengubah struktur ayat dalam borang persetujuan pengambilan vaksin yang dilihat agak kurang sesuai.

Merujuk kepada borang persetujuan penerimaan vaksin, terdapat ayat yang menyatakan penerima setuju untuk bertanggungjawab ke atas risiko yang mungkin berlaku kepada mereka selepas disuntik.

“Bagi saya, kenyataan ini wajar diubah kepada ayat yang lebih sesuai dan tidak menakutkan bakal penerima vaksin. Seperti contoh, penerima faham atas kesan sampingan vaksin dan bukannya tanggung risiko itu sendiri.

“Saya difahamkan bahawa jika terbukti berlaku kesan sampingan yang serius seperti meninggal dunia atau dimasukkan ke hospital, kerajaan yang akan tanggung menerusi bayaran pampasan dan mangsa akan dimasukkan ke hospital secara percuma,” katanya.

Sementara Saintis Virologi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Muhammad Amir Yunus, berkata isu antivaksin berpunca dengan isu kepercayaan yang sebati dalam benak fikiran mereka.

“Seperti keagamaan, maka, mereka yakin bahawa vaksin adalah sesuatu yang haram dan sememangnya wajib dijauhi. Mereka amat yakin bahawa keburukan vaksin mengatasi kebaikan.

“Tambahan pula dengan momokan yang dianggap benar seperti teori konspirasi mengaitkan vaksin baharu dengan nanocip, gelombang 5G, magnetik dan sebagainya,” katanya kepada MalaysiaNow.

Mengulas lanjut, beliau berkata, golongan yang ragu-ragu tidak boleh dikira sebagai antivaksin kerana mereka hanya was-was dengan keberkesanaan vaksin Covid-19.

“Mereka ini yakin dengan vaksin yang dibangunkan sebelum ini, cuma dalam kes Covid-19, memandangkan terdapat vaksin jenis baru yang belum pernah digunapakai, maka mereka merasakan bahawa bukti daripada data-data sedia ada tidak kukuh.

“Hal ini juga mungkin disumbangkan oleh pendedahan berleluasa dan secara berlebihan menerusi media sosial mengenai kesan sampingan vaksin seperti risiko darah beku walhal peratusannya adalah amat rendah berbanding kesan dijhangkiti virus itu sendiri,” katanya.