Pembangkang meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan terma Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik terlebih dulu yang diumumkan pada Khamis sebelum membuat keputusan untuk memberikan kerjasama.
Timbalan Pengerusi Pejuang Marzuki Yahya berkata perkara itu penting bagi menilai apakah sumbangan dan peranan yang boleh dimainkan parti-parti pembangkang.
“Kita nak tengok dulu isi kandungan penubuhan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik seperti yang dinyatakan Ismail. Apa isi kandungannya?, Apa peranan kita? Kerjasama itu macam mana? Dan lain-lainnya,” kata bekas ahli Dewan Negara itu kepada MalaysiaNow.
“Selepas itu barulah kita buat ketetapan untuk menyokong, bersetuju atau tidak.”
Ismail pada Khamis mengumumkan wakil pembangkang akan terlibat dalam Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.
Katanya, perkara itu diputuskan selepas persetujuan sebulat suara dicapai dalam Sidang Khas Pengurusan Pandemik: Covid-19 berkenaan yang kini ditukar nama kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.
Menurut Marzuki, hal itu bagi mengelak perkara sama berlaku seperti penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang didakwanya tidak mengikut syor Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad.
“Sebab itu kita nak tahu apa pelan Ismail dan bagaimana gerak kerja yang akan dimainkan pembangkang,” katanya.
Pada 12 Jun Mahathir mencadangkan penubuhan MPN mirip Majlis Gerakan Nasional (Mageran) yang ditubuhkan selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969.
Beliau berkata, tugas MPN adalah untuk mengurangkan peningkatan kes baharu Covid-19 sehingga mencapai imuniti kelompok di negara ini.
Pada 16 Julai kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin menubuhkan MPN bagi memantau pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
MPN pada ketika itu dipengerusikan Muhyiddin.
Bagaimanapun Mahathir mengkritik MPN kerana mendakwa majlis itu dipolitikkan apabila melantik Muhyiddin sebagai pengerusi.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad pula bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa tersebut yang akan melibatkan pembangkang.
Beliau yang juga ahli Parlimen Shah Alam menyifatkan, penubuhan itu mampu menangani masalah Covid-19 denngan lebih baik.
“Cuma kami harap Ismail boleh perincikan apa peranan yang kami akan mainkan,” katanya kepada MalaysiaNow.
Ketua Pemuda Warisan Azis Jamman berkata, partinya tidak mempunyai sebarang masalah untuk duduk berbincang dengan kerajaan dalam usaha membanteras penularan Covid-19.
Bagaimanapun katanya, Warisan juga mahu menilai terlebih dulu isi kandungan jawatankuasa itu.
“Jika hanya untuk cantikkan buku saja, tak guna,” kata ahli Parlimen Sepanggar kepada MalaysiaNow.
“Seperti juga yang ditawarkan Muhyiddin dulu, dia kata bi-partisan, tapi beliau tidak pernah mendengar cadangan kami.
“Perkara ini sama dengan Jawatankuasa Bebas Darurat yang tubuhkan PN, fungsinya pun kita tidak jelas, apatah lagi keperluan penubuhannya.”
Sebelum ini, Ismail berkata jawatankuasa yang melibatkan pembangkang itu adalah pendekatan kerajaan untuk melibatkan semua pemegang taruh.
Menurutnya, ia adalah bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti yang telah dirancang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia.