- Iklan -
Berita

Tumpu lengkap 2 dos vaksin dulu sebelum laksana dos ketiga, kata pakar

Keperluan untuk laksana dos penggalak vaksin Covid-19 masih tidak perlu difikirkan, kata pakar virologi.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Orang asli suku Temuan beratur menunggu giliran vaksinasi di dewan yang dijadikan pusat vaksinasi di Sungai Congkak, Hulu Langat.
Orang asli suku Temuan beratur menunggu giliran vaksinasi di dewan yang dijadikan pusat vaksinasi di Sungai Congkak, Hulu Langat.

Pakar kesihatan berkata Malaysia masih belum memerlukan dos vaksin ketiga atau penggalak (booster) kerana sejumlah besar populasi dewasa masih belum divaksin atau masih belum lengkap dua dos vaksin.

Pakar virologi, Dr Yahya Mat Arip berkata setakat 3 September, hanya 48% populasi di Malaysia lengkap menerima vaksin Covid-19.

“Ini bermakna kita masih ada jumlah peratusan besar iaitu lebih 50% keseluruhan populasi atau 34.1% populasi dewasa yang masih belum divaksin,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Dalam keadaan ini pelaksanaan dos penggalak tidak akan membantu melawan varian Delta kerana peratusan belum divaksin masih tinggi.”

Singapura dilaporkan mula memberi dos penggalak kepada warga emas dan kepada yang mempunyai sistem imuniti lemah, ketika kes Covid-19 negara itu meningkat naik melebihi 100 kes sehari.

Republik itu mencatatkan 219 kes harian Covid-19 pada Jumaat ketika kadar vaksinasi di Singapura mencapai 77.8% populasi.

Yahya berkata, tumpuan harus diberikan kepada usaha memastikan seramai mungkin rakyat melengkapkan dos vaksin.

“Mereka yang belum lengkap vaksin mempunyai risiko sehingga tiga kali ganda mendapat sakit teruk sekiranya dijangkiti Delta.

“Berbanding mereka yang lengkap divaksin hanya akan mengalami gejala ringan atau tidak bergejala,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini turut mengatakan dos penggalak tidak membantu dalam usaha melawan Delta.

Di sebelah utara, Thailand turut mula memberikan dos penggalak, namun terhad kepada tiga juta individu yang majoritinya merupakan petugas barisan hadapan.

Menurut Yahya di negara-negara Barat, dos penggalak diberikan kepada golongan tua, pesakit kanser, pesakit yang menjalani pemindahan organ dan golongan “immune-deficient”.

“Buat masa ini vaksin sedia ada masih berkesan dan mampu memberikan perlindungan. Oleh itu, kita masih ada masa untuk membuat penilaian bagi keperluan dos penggalak,” katanya.

Malaysia menyasarkan imuniti kelompok apabila 80% populasi menerima suntikan vaksin Covid-19.

Putrajaya berkata ia boleh dicapai pada Oktober tahun ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.