- Iklan -
Berita

Iktiraf atau bodek? Perubahan budaya dalam mengenang jasa pemimpin

Empat perdana menteri yang diberi gelaran bersifat 'kebapaan', namun amalan demikian tidak lagi miliki ruang dalam landskap politik baru.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Dari kanan: Dr Mahathir Mohamad, Hussein Onn, Abdul Razak Hussein, Tunku  Abdul Rahman.
Dari kanan: Dr Mahathir Mohamad, Hussein Onn, Abdul Razak Hussein, Tunku Abdul Rahman.

Di sekolah, kanak-kanak mempelajari perdana menteri terdahulu diberikan gelaran unik sebagai pengiktirafan kepada mereka kerana berjaya mengukir beberapa pencapaian sepanjang perkhidmatan, paling terkenal adalah Bapa Kemerdekaan yang digunakan warga Malaysia ketika merujuk kepada perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman.

Penggantinya, Abdul Razak Hussein pula dikenali sebagai Bapa Pembangunan, sementara Hussein Onn dikenali sebagai Bapa Perpaduan.

Seterusnya Bapa Pemodenan yang sering merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad

Gelaran seumpama itu turut cuba diberikan kepada Abdullah Badawi dan Najib Razak, namun masih ramai yang mempersoalkan legasi yang mereka tinggalkan.

Jadi, apakah tradisi memberikan gelaran kepada pemimpin utama negara terhenti selepas Mahathir?

Apakah penilaian sejarah terhadap Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob misalnya yang mengambil alih jawatan tersebut ketika suasana kemelut politik dan sosial negara berada di kemuncaknya.

Seorang ahli akademik berhujah, tradisi pemberian gelaran “bapa” kepada bekas perdana menteri berakar daripada sifat feudalisme masyarakat Melayu.

“Ketika kemerdekaan, kita tiada watak ‘superhero’ secara umumnya, jadi watak-watak politik atau tokoh masyarakat dipandang tinggi dan diberi gelaran,” kata pakar psikologi dari Universiti Malaya, Mohd Awang Idris kepada MalaysiaNow.

“Secara psikologi, tokoh ini menjadi simbol kepada masyarakat untuk menaungi perjalanan negara ini.”

Awang berkata, pada zaman moden gelaran-gelaran tersebut mampu memberikan “mileage” politik.

“Dahulu konsep bapa relevan, kerana masyarakat memerlukan simbolik bapa sebagai penyatuan untuk menghadapi cabaran masa dahulu seperti pemberontakan komunis.

“Bagaimanapun, simbolik sebagai hero dah tak relevan sekarang kerana ramai ‘hero’ yang boleh dipilih masyarakat,” katanya.

Beliau menambah, budaya memberikan gelaran kepada perdana menteri kini tidak lagi relevan kerana landskap politik negara sudah berubah apabila para pemimpin perlu bertanggungjawab dengan apa yang mereka lakukan sepanjang memegang jawatan.

Menurut Awang, ahli politik tidak boleh lagi diagungkan atau ditatang seperti dewa kayangan kerana mereka hanyalah penjawat awam pada tempoh penggal pemilihan masing-masing.

Dengan kata yang lain, ia adalah tingkah laku dalam konsep “paternalistik,” di mana rakyat sentiasa ikut arahan tidak lagi dipedulikan.

“Tapi masyarakat sekarang tak ikut sangat, jadi konsep bapa itu tak begitu berkesan,” katanya.

Sementara itu, profesor di Jabatan Pengajian, Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM), Zaid Ahmad berkata meletakkan gelaran itu juga boleh dikatakan sebagai membodek yang mana perbuatan “itu tak betul.”

“Ia mesti ada asas yang mesti digunakan sebagai pengukur untuk beri gelaran,” katanya.

“Kalau setiap perdana menteri hendak diletakkan ‘Bapa’ sekian sekian, nanti kita terpaksa mencari gelaran tersebut,” katanya.

Zaid berkata akan sampai waktunya gelaran-gelaran sedemikian tidak lagi menggambarkan realiti.

“Kalau dia benar-benar berjasa, kita tak perlu cari (gelaran untuknya) kerana orang ramai boleh mengaitkan gelaran itu dengan penerimanya,” katanya.

Tambah beliau, jika benar memberikan gelaran itu perlu dilakukan juga, tempoh perkhidmaran yang tidak panjang bukan ukuran dalam pemberian gelaran bapa itu.

Zaid memberikan contoh Razak yang hanya menjadi perdana menteri selama enam tahun dari 1970 hingga 1976.

“Namun legasinya masih hidup sehingga hari ini,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.